Friday, July 17, 2009

ARAHAN ARAHAN BANGANG DARI MUHYIDDIN, MUSA HASSAN DAN ISMAIL OMAR



Kematian Teoh Beng Hock, setiausaha politik kepada ADUN Seri Kembangan juga Pengerusi DAP Selangor setakat ini telah disusuli dengan tiga ‘jangan’.

Pertama, Muhyiddin Yasin meminta semua pihak supaya ‘jangan’ membuat sebarang andaian dan bertindak keterlaluan.

Kedua, Musa Hassan pula memberi amaran kepada pihak tertentu supaya ‘jangan’ mempolitikkan kematian Teoh.

Ketiga, Ismail Omar, Timbalan Ketua Polis Negara meminta semua pihak supaya ‘jangan’ membuat spekulasi berhubung kematian Teoh.

Semua 'jangan' itu tidak bermakna apa-apa lagi kepada rakyat Malaysia dalam keadaan polis dan SPRM dipandang serong.

Bolehkah kematian Teoh bebas daripada andaian dan spekulasi? Jawabnya tidak. Tempat, cara dan masa dia mati sahaja sudah pun membuka ruang orang berspekulasi.

Dia mati di bangunan SPRM, selepas disoal siasat oleh SPRM sehingga jam tiga pagi. Khabarnya lagi dia diugut dan diseksa kemudian dia terhumban ke bawah secara tidak sengaja.

Tiba-tiba keluar arahan, ‘Jangan berandaian, jangan berspekulasi’. Wah, wah…, mudahnya usaha untuk menutup bangkai gajah. Tertutupkah dengan nyiru?

Orang berspekulasi kerana mereka tidak puas hati, jemu, menyampah, meloya, melugai dengan sikap pihak berkuasa. Orang ramai sudah termuntah beberapa kali dengan pelbagai kenyataan ‘menutup bangkai’ oleh polis dan SPRM.

SPRM membisu apabila orang persoalkan, mengapa kes-kes melibatkan parti-parti bukan BN cepat dan cekap tetapi kes Khirt Toyo dan selainnya ‘tawadhuk’ dan ‘lemah-lembut’?

Sikap SPRM dan polis sebenarnya membuka ruang orang berspekulasi.

Teoh orang politik, nama jawatannya pun setiausaha politik walau pun bukan jawatan rasmi. Kalau dia orang politik, bagaimana nak dilarang kematiannya jangan dipolitikkan?

Apa maksud jangan dipolitikkan? Adakah maksudnya orang politik tak boleh cakap, tak boleh sebut? Atau tak boleh ambil kesempatan di atas kejadian yang berlaku untuk meraih sokongan politik?

Bilakah masanya orang politik tidak melakukan sesuatu atau bercakap bukan bertujuan untuk meraih sokongan politik? Cakap Najib, Muhyidin atau pemimpin Umno yang lain, kalau bukan cakap politik, cakap apa?

Kejadian ini bukan sekadar kejadian Teoh ‘jatuh’ bangunan dan mati. Ini adalah soal kredibiliti dan kewibawaan. SPRM bukan sekadar terconteng muka dengan arang, malah telah pun tertumpah cat hitam ke atas badan.

Kalau SPRM sudah terpasak di kepala orang ramai sebagai agensi yang suka mencari bukti dengan memaksa, mendera, mengugut, mengancam dan terbaru seperti yang berlaku kepada Teoh, orang tetap berspekulasi.

Pemimpin Umno, SPRM dan polis boleh menganjurkan majlis 'ratib jangan', namun kematian Teoh tetap dispekulasikan dan dipolitikkan.

SUMBER : www.bongkarsauh.blogspot.com

No comments:

Post a Comment