Friday, October 2, 2009

WAJARKAH UNTUK PEMIMPIN DAP MEMINTA PEMIMPIN PAS BERTAUBAT



Minggu lalu, heboh di media UMNO tentang seruan Teng Chang Kim kepada Hassan Ali. Beliau menasihatkan Hassan Ali bertaubat atas segala kesalahan dan kemunafiqannya sejak PRU Ke 12 yang lalu. Ini termasuklah isu arak, isu SELCAT dan sebagainya.

Ramai mempersoalkan seruan Teng Chang Kim ini baik di pihak PAS dan apatah lagi di pihak UMNO.

Bagi sesetengah orang PAS, Teng Chang Kim kelihatan seperti sudah besar kepala dengan kedudukan beliau sebagai Speaker DUN Selangor sehinggakan beliau dengan penuh lancar dan lancang menegur Pesuruhjaya PAS Selangor dengan seruan sebegitu.

Pada orang UMNO pula, Teng Chang Kim kelihatan seperti mahu mengambil alih tugas ulama dan mahu memperlekehkan serta mempermainkan Islam.

Pendek kata, menurut pandangan sesetengah orang PAS, Teng Chang Kim cuba mengajar itik berenang manakala bagi orang UMNO pula, Teng Chang Kim mempermainkan Islam. Itu sahaja.

Pada aku, walau siapa pun yang mengeluarkan seruan itu, itu bukan soal. Soalnya, kita masing masing wajib memperhalusi kenapa dan mengapa seruan itu dikeluarkan. Bukannya mempersoalkan siapa yang mengeluarkan seruan itu.

Islam mengajar kita untuk menyokong kebenaran dan menyanggah kebatilan. Islam tidak pernah mengajar kita untuk menyanggah individu. Kita harus pandai membezakan di antara menyanggah individu dengan menyanggah pandangan individu.

Dalam kes SELCAT, ramai di kalangan kita yang mengambil pendirian untuk menyanggah cara dan pandangan Hassan Ali. Ini tidak bererti kita menyanggah Hassan Ali. Malangnya, ramai juga di kalangan kita yang gagal membezakan di antara menyanggah Hassan Ali dengan menyanggah cara dan pandangan Hassan Ali.

Bukan niat di hati untuk membela Hassan Ali. Aku cuma mahu kita semua faham tentang perbandingan perbandingan sebegini supaya ruang kritikan itu masih berada dalam lingkungan kritikan membina dan bukannya menyerang peribadi.

Namun, wajib untuk kita menyedari bahawa kaki kencing manis itu amat perlu dipotong setelah segala usaha dilakukan bagi menyelamatkannya. Apa yang penting adalah kaedah rawatan dan tindakan memotong kaki kencing manis itu juga merupakan satu kaedah rawatan.

Berbalik kepada soalan "wajarkah pimpinan DAP meminta pimpinan PAS bertaubat"?

Islam mengajar kita untuk berbuat ma'ruf dan menentang kemungkaran. Islam tidak mengajar kita untuk menentang UMNO, menentang DAP, menentang PAS mahu pun menentang yang lain lain.

Seperti mana yang disebutkan dalam apa yang dikenali sebagai Amanat Hj Hadi, kita menentang UMNO bukan keranan namanya UMNO tetapi kerana dasarnya yang amat tidak Islam.

Maknanya, pejuang Islam akan bergandingbahu dengan mana mana pihak selagi mana gandingan itu mendatangkan manfaat kepada Islam.

Seruan Teng Chang Kim itu perlu dilihat menerusi konteks sikap dan cara Hassan Ali. Semua pihak telah bertungkus lumus bergandingbahu bagi mengalahkan UMNO dan gandingan itu telah berjaya walaupun gandingan itu lebih kepada "kahwin dulu cinta kemudian".

Adakah setelah gandingan itu berjaya dijalin, Hassan Ali masih mahu menjadikan PAS berperanan sebagai pembangkang? Hassan Ali wajib menyedari bahawa PAS kini sebahagian daripada kerajaan yang mentadbir Selangor kini.

Oleh itu, tindakan dan perancangannya juga wajib menjadi tindakan dan perancangan kerajaan Selangor. Malangnya, beliau masih gagal untuk memahami bahawa PAS kini kerajaan. Atas sebab itu, beliau tidak memanfaatkan ruang mesyuarat Exco tetapi memanfaatkan ruang busuk yang media sediakan untuk menghentam dan mendedahkan kelemahan kerajaan yang beliau senduri merupakan sebahagian daripadanya.

Bukankah itu menjilat ke langit namanya? Bukankah itu lupa diri namanya? Ini yang cuba disampaikan oleh Teng Chang Kim.

Teng Chang Kim bukanlah mahu mencampuri urusan Islam tetapi seruannya itu adalah wajar diberikan perhatian bagi menyelamatkan maruah Islam sebelum maruah Islam itu dicemari dengan dasar nasionalist buta tuli seperti mana yang diamalkan oleh UMNO.

Pada aku, walau berserban berjubah sekali pun, jika masih bercakap soal penyatuan Melayu dan bukannya penyatuan Islam, maka itu adalah nasionalist atau dalam bentuk lainnya itu adalah UMNO walau memikul panji panji PAS sekalipun.

Jika kita mahu memilih untuk mengambil pendirian bahawa DAP tidak faham Islam, bukankah menjadi tanggungjawab kita untuk memahamkan mereka? Sekali lagi, kita meludah ke langit.

Ingatlah wahai sahabat, tanggungjawab kita adalah berdakwah supaya Islam dapat ditegakkan di muka bumi ini. Bukannya memaksa Islam ke atas kelompok bukan Islam. Jika dakwah kita diterima oleh Allah swt, maka masyarakat bukan Islam akan bersama kita memikul panji panji Islam.

Janganlah kita memikirkan soal hidayah kerana hidayah itu milik Allah swt. Bukankah kita semua tahu dan amat tahu tentang sejarah Rasulullah saw san Abi Talib? Jadikan sejarah itu sebagai i'tibar supaya kita faham bahawa tanggungjawab kita hanyalah berdakwah manakala hidayah itu milik Allah swt.

Wajarkah seruan Teng Chang Kim itu? Pada aku, jawapannya WAJAR.

Allah swt telah memilih "orang lain" untuk menyelamatkan Islam daripada dipandang sinis penuh prejudis oleh masyarakat bukan Islam.

Fikirkan wahai "pejuang Melayu".....

2 comments:

  1. Sokong enta punya artikel ni..pas ni ana tak dapat selalu post artikel...ana gi bljr di kudqi..doakan ana yer..Kdg2 ana hairan pimpinan Dap byk ajar kita ttg Islam...lim guan eng pernah suruh tg presiden bertaubat, dlm isu kjaan perpaduan..kalau enta igt lg..kdg2 kita rasa malu Dap ajar kita...Tapi puncanya kita jugak..byk memandai2 dan tak reti bermain siasah..Byk main lontaran idea semata2 nak cari jalan bntuk kjaan dgn umno..kalau bleh emel ana deh...ana nak tau knapa mustafa ali dijdkan gmbar dlm blog enta digandingkan dgn us nasa...adakah dia juga terlibat isu muzakarah? Dia cerdik dan licik..Ana pun tak tau dia ni orgnya mcmmane.

    ReplyDelete
  2. InsyaAllah, ana doakan. Tuntutlah ilmu seikhlas dan sejujur mungkin semoga ilmu ilmu itu menjadi perisai kita daripada bakaran api neraka.

    Jauhi sifat riya' kerana itu membuatkan kita menjadi cinta dunia.

    Ya akhi, jangan mengalah dalam menuntut ilmu. Begitu juga jangan sombong apabila sudah menguasai ilmu.

    Ameen.

    Emel ana : pemburusyahid@yahoo.com

    Hubungi ana. Mungkin kita boleh berjumpa sebelum anta ke Kudqi. Kita sama sama di Cheras.

    ReplyDelete