Wednesday, December 16, 2009

2010 - CABARAN BESAR BUAT PAS



Oleh Zolkarnain Abidin al-Hafiz

2010 bukan tahun pilihanraya. Pasti Najib tidak akan membubarkan parlimen pada tahun hadapan. Situasi semasa ekonomi terutamanya meletakkan 2010 bukan tahun yang sesuai untuk pilihanraya. Lagi pun penggal parlimen yang masih ada ini terlalu muda untuk itu.

PAS bakal meninggalkan 2009 dengan seribu kenangan, manis dan pahit. Kenangan manis diharap tidak melekakan dan kenangan pahit tidak melemahkan.

Suatu acara besar yang bakal mencorakkan wajah PAS pada tahun 2010 ialah Konvensyen Pakatan Rakyat pada bulan ini. PAS bersama PKR dan DAP bukan lagi rakan biasa tetapi bakal menjadi rakan rasmi, kiranya pendaftaran Pakatan Rakyat diluluskan.

Isu yang menyebabkan teranjurnya seminar khas rasanya tidak akan berbangkit lagi. Ianya terkunci mati. Mereka yang dikatakan terlibat memporak-perandakan PAS dengan isu itu bakal berhadapan tindakan. Mudah-mudahan isu tersebut akan terpadam terus daripada kamus perjuangan PAS.

Kajian yang dibuat oleh Dr Abu Hassan Hasbullah yang terbentang pada seminar khas yang lalu diharap tidak dibiarkan berlalu begitu sahaja. Kebimbangan mengenai penurunan sokongan golongan muda kepada PAS diharap dapat diubati khususnya oleh Pemuda PAS.

Demikian juga dengan keputusan PRK Bagan Pinang diharap tidak terus menghantui PAS. Walau pun keputusan itu bukan gambaran sebenar kepada situasi yang dihadapi PAS, tetapi kewujudan orang-orang seperti Isa Samad tidak boleh dipandang remeh. Itulah sebahagian sumber kekuatan Umno.

Di kalangan PAS adakah orang yang sehebat Isa, bukan rasuahnya tetapi dekatnya dia dengan hati dan jiwa rakyat setempat?

Umno masih mempromosikan isu hubungan PAS dengan DAP. Misalnya, PAS menjadi tunggangan DAP dan PAS makin luntur komitmen Islamnya kerana menjaga hati DAP. Walau pun itu adalah tuduhan tidak berasas Umno, PAS tidak boleh memandang mudah tuduhan itu. Sesuatu perlu dilakukan untuk menafikan tuduhan hodoh itu.

Antara isu kritikal juga ialah hubungan PAS dengan non Muslim khususnya ahli kelab penyokong PAS. Bagaimana status mereka, sekadar ahli kelab atau bakal dinaik taraf menjadi ahli PAS? Jelas, mereka tidak boleh dibiarkan terus sebagai ahli kelab sahaja tetapi perlu menjadi ahli PAS. Bagaimana? Tentu PAS ada mekanismenya.

Di samping isu-isu politik negara, PAS juga mesti peka dengan tugas pembinaan kualiti ahli. Melahirkan ahli PAS yang tidak lut oleh senjata Umno yang tajam itu bukan mudah. Justeru, program tarbiah siyasiyyah perlu mampu melahirkan ahli PAS yang terdidik sebagai ahli politik yang matang dan tahan uji serta masak dengan sepak terajang musuh.

Soalan akhir, apa khabar PAS Perlis? Bagaimana wajah PAS Perlis pada tahun 2010?

PAS Perlis tidak boleh lagi berterusan dengan strategi ‘Gerak Senyap’ juga ‘Menjadi Pembangkang Yang Kuat’, tetapi perlu mampu menampilkan diri sebagai ganti kepada Umno pada pilihanraya akan datang.

Gerakan politik bertahap tinggi hendaklah menjadi keutamaan. Penglibatan mereka yang berminda strategik dan berwawasan, berfikiran politik tinggi dan lincah perlu dibuka luas. Kita tidak boleh berpuas hati dengan tenaga yang ada yang masih belum mampu memecah tembok penghalang antara PAS dengan rakyat.

Mudah-mudahan 2010 membawa sinar yang lebih gemilang kepada PAS Perlis. - sumber

No comments:

Post a Comment