Oleh Zolkarnain Abidin al-Hafiz
Media melaporkan, MP Taiping Nga Kor Ming mempersoalkan peruntukan yang tidak seimbang untuk masjid dan kuil atau gereja. Peruntukannya ialah RM746.26j untuk masjid dan cuma RM9j saja untuk kuil atau gereja.
Dikira berdasarkan bilangan apa pun, samada bilangan orang bukan Islam di negara ini atau bilangan kuil, gereja, tokong dan sebagainya, pada fikiran Nga, peruntukan itu adalah tidak seimbang.
Saya tidak bersetuju dengan Nga kerana dia mempersoalkannya, tetapi saya tidak marah kepadanya secara sembrono seperti orang Umno.
Sekali lagi, samada Nga atau sesiapa sahaja, mereka tidak berhak mempersoalkan itu semua.
Tetapi, timbul persoalan, mengapa Nga mempersoalkannya? Apa agenda Nga? Adakah Nga tidak tahu bahawa apa yang dipersoalkannya itu boleh membangkitkan kemarahan orang Islam termasuk orang Islam yang tidak ke masjid?
Saya fikir Nga tahu implikasinya, tetapi mengapa dipersoalkan juga? Nga musuh Islam? Nga anti Islam? Atau, apa?
Umno / BN memerintah negara ini sudah 50 tahun lebih. Masjid dikuasai oleh Umno kecuali masjid Rusila dan Masjid Pulau Melaka. Daripada siak sampai imam besar, semuanya hendaklah diisi oleh orang Umno.
Jangan sesiapa yang cuba-cuba berani mengajar atau menyampaikan kuliah di masjid tanpa kebenaran, tangkap. Masjid dibuka untuk solat berjemaah, itu pun dengan bilangan jemaah yang tidak seberapa. Kadang-kadang yang ada cuma bilal dan cicak. Bilal jadi imam dan cicak tak mungkin jadi makmum.
Pada hari Jumaat pula, perhatikan, mana yang ramai antara yang dengar khutbah dengan yang lena atau separuh lena? Bunyi khutbah seperti kumbang dalam lubang. Ada makmum yang sudah boleh menghafal khutbah imam. Ada imam yang tak boleh baca khutbah kalau buku khutbahnya dicuri anak muda nakal.
Mengapa imam itu kekal sebagai imam juga? Ya, kerana dia Umno. Adakah Umno sedar perkara ini? Masjid tidak dibersihkan dengan sempurna, mengapa tidak ambil siak lain? Ya, kerana dia Umno.
Saya berani katakan, tidak banyak sangat manfaat yang diperolehi oleh orang Islam daripada masjid.
Selain tempat untuk solat, apa yang orang Islam boleh dapat di masjid? Masjid ada perpustakaan? Ada kemudahan internet? Ada kemudahan sukan? Ada gelanggang silat? Ada gelanggang debat? Ada wacana ilmiah yang berat-berat? Ada pusat khidmat masyarakat? Ada pasar? Ada ambulan? Ada kerta jenazah? Ada kemudahan kenduri? Ada bilik penginapan musafir? Ada tandas yang bersih? Ada…
Aaahh, jangankan itu semua, pejabat masjid pun tidak ada. Itu belum cerita kasut dan motosikal yang hilang di masjid.
Kalau orang Islam sendiri tidak mendapat banyak manfaat daripada masjid selain sekadar simbol sahaja, apa pula manfaat yang diperolehi oleh orang bukan Islam? Saya ulangi, apa manfaat yang diperolehi oleh orang bukan Islam daripada masjid termasuk daripada Masjid Negara dan Masjid Putrajaya?
Masjid adalah sinonim dengan Islam. Islam adalah rahmat, demikian juga masjid. Islam rahmat untuk semua termasuk untuk orang bukan Islam, demikian juga masjid.
Kini, apa yang orang bukan Islam tahu daripada masjid ialah, masjid mengganggu tidur mereka pada waktu pagi dengan bacaan al-Quran daripada kaset sebelum masuk waktu Subuh lagi. Ini kerja siapa?
Lebih jauh lagi, mereka bukan mendapat manfaat, terkadang dihalau orang bukan Islam yang cuba mendekati masjid.
Kesimpulannya, masjid menjadi institusi yang dirasakan oleh orang bukan Islam sebagai memusuhi mereka. Pernahkah pimpinan masjid kita membantu orang bukan Islam yang menderita dan terlantar atau ditimpa musibah?
Aaahhh, jangankan orang bukan Islam, orang Islam pun tidak dibantunya. Jangankan pimpinan masjid kita membantu orang Islam yang tidak ke masjid, yang berulang-alik ke masjid pun tidak dibantunya. Apatah lagi orang bukan Islam.
Apa yang pimpinan masjid tahu ialah marahkan orang yang tidak datang ke masjid.
Sebab itu saya katakan, saya tidak setuju Nga membangkitkan perkara itu tetapi saya tidak marah kepadanya secara sembrono. Bukan kerana dia DAP, tetapi kerana kalau kita marahkan dia pun, tetapi masjid kita tetap begini juga, apa gunanya?
Nga mempersoalkan itu kerada dia merasakan dia dan orang-orang bukan Islam yang lain tidak mendapat apa-apa daripada kewujudan sekian banyak masjid di negara ini.
Orang Islam pula dapat apa daripada kuil? Ya, kalau daripada masjid kita mereka tidak mendapat apa-apa, mengapa kita mengharap sesuatu daripada kuil atau tokong mereka?
Dalam isu ini saya marahkan Umno kerana parti itu yang merosakkan institusi masjid kita. Mereka hanya tahu bina, itu pun untuk membela kontraktor mereka tetapi tidak tahu memanfaatkannya. Mereka bina masjid kemudian mereka ‘kunci’ masjid.
Masjid rosak bukan kerana digunakan tetapi kerana jarang digunakan. Apabila rosak, masjid pun dibaiki. Kerja-kerja membaikinya dapat kepada kontraktor Umno lagi. Masjid jadi tempat Umno buat duit bukan tempat ibadat dan membantu masyarakat.
Apa anda lupa bahawa Umno pernah merobohkan masjid? Anda lupa bahawa Mufti dilarang masuk masjid?
Mengapa masjid kita rosak? Kerana dikuasai oleh Umno. Siapa lebih layak kena marah, Nga atau Umno? Benar, lebih baik marahkan Umno daripada marahkan Nga. - sumber
salah UMNO al-celaka
ReplyDelete