Sunday, June 21, 2009

KERAJAAN PERPADUAN TETAP DITENTANG MURSYIDAL-'AM



Mursyidul Am Pas, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tetap berkeras dengan pendiriannya menentang cadangan kerajaan perpaduan meskipun banyak pihak berharap beliau mengubah pendiriannya itu demi kepentingan umat Islam dan keharmonian negara.

Menteri Besar Kelantan itu turut mempersoalkan mengapa perlu membuka lembaran baru hubungan antara UMNO dan Pas dengan menyifatkan kerajaan pakatan pembangkang pada masa ini jauh lebih baik daripada kerajaan perpaduan.

Menurutnya, beliau berkeras menentang idea pembentukan kerajaan perpaduan kerana berasakan sudah masak dengan tindak-tanduk UMNO selama ini.

“Ya, tetap menentang cadangan kerajaan perpaduan. Kami dah kenal UMNO,” katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim Mu‘adzam Shah, Kepala Batas di sini hari ini.

Beliau dikatakan ke negeri ini untuk mengadakan perjumpaan tertutup dengan pemimpin Pas negeri.

Ketibaannya di lapangan terbang berkenaan disambut oleh sekumpulan penyokong Pas yang turut membawa kain rentang bertulis ‘Kami bersama-sama menyokong Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat’.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam berharap lembaran baru hubungan UMNO dan Pas dapat dimulakan segera demi kepentingan umat Islam dan keharmonian negara.

Menurutnya, perbincangan awal berhubung cadangan pembentukan kerajaan perpaduan membuka tirai ke arah persefahaman bagi merapatkan hubungan dan menjalin kerjasama walaupun hasilnya belum dapat dijangkakan.

Beliau menegaskan, soal pengalaman lalu yang mencetuskan persengketaan, menimbulkan dendam dan keraguan sebilangan pemimpin Pas perlu dilupakan ketika keadaan perpecahan umat Islam kini membimbangkan.

Sementara itu, Pengerusi Kebangsaan Kelab Penyokong Pas, Hu Pang Chaw berkata, kalangan ahli kelab tersebut tidak menerima cadangan kerajaan perpaduan dan tetap dengan pendirian untuk bersama serta menyokong pakatan pembangkang.

“Kita sokong pendirian Nik Aziz yang mahu Pas terus beri komitmen kepada pakatan pembangkang,” katanya.

Tok Guru tidak keseorangan dalam menentang ide kerajaan Perpaduan. Tok Guru turut disokong oleh MP Muslimat PAS dan Ahli-Ahli Parlimen PAS.

SUMBER : www.jiwokelate.wordpress.com

No comments:

Post a Comment