Saturday, June 20, 2009

ALMARHUM TUAN GURU HJ FADHIL MOHD NOOR DALAM KENANGAN


Aku jumpa artikel nih entah macam mana aku pun tak pasti. Aku surf untuk cari gambar almarhum Ust Fadhil. Alih alih aku jumpa artikel nih.

Aku menangis semahu mahunya kerana aku ada hubungan yang tersendiri dan terlalu peribadi dengan beliau. Almarhum pasti sedih jika sempat menyaksikan apa yang berlaku ini.


Bua
t Sulaiman, Nasrul, Imad dan Tengku Fauzi, bersamalah kita pegang segala hajat almarhum sebagai bukti kita kasihi dirinya dan perjuangannya. Kita kongsi bersama artikel yang aku maksudkan nih.



CATATAN I

Dato' Hj Fadzil @ Ali bin Mohd. Noor dilahirkan hasil perkongsian hidup antara Mohd. Noor Abdul Hamid dan ibunya Hindun Hj. Abdul Rahman. Dilahirkan pada 13 Mac 1937 di Kampung Seberang Pumpung, kira-kira tiga kilometer dari bandar Alor Setar, Kedah. Beliau merupakan anak sulung daripada empat adik beradik. Kedua-dua ibu bapanya meninggal dunia sewaktu beliau masih kecil lagi.

Latar belakang keluarga sebelah ibu bapanya adalah dari kalangan keluarga yang berpegang teguh kepada ajaran Islam. Moyang beliau iaitu Tuan Guru Haji Idris Al-Jarumi merupakan salah seorang ulama' yang disegani berasal dari Wilayah Patani, Thailand dan terkenal di Kedah.


Sejarah awal pendidikan Dato' Hj. Fadzil Mohd. Noor bermula sekitar tahun 1946. Waktu itu beliau mengikuti pendidikan awal di Sekolah Melayu Derga, Alor Setar sehingga tahun 1949. Kemudian menyambung pelajaran di peringkat menengah di Maktab Mahmud sehingga tahun 1958 sebelum meneruskan pengajian tinggi di tempat yang sama hingga tahun 1962.


Tahun 1963 beliau telah menyambung pelajaran ke seberang laut dengan mengikuti pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir dengan mendapat biasiswa kerajaan negeri Kedah. Di Universiti Al-Azhar, beliau mengambil jurusan Perundangan Islam (Syariah) dan menamatkan pengajiannya pada tahun 1967 dengan memperolehi ijazah Sarjana Muda dalam lapangan tersebut.

Dato' Hj Fadzil Mohd. Noor telah mendirikan rumah tangga dengan sepupunya Datin Hajjah Siti Khadijah Ibrahim pada tahun 1963. Isteri beliau merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Farbish Bakar, Alor Setar, Kedah. Kemudian setelah berkahwin turut bersama melanjutkan pelajaran ke Al-Azhar bersama suaminya.

Hasil perkahwinan beliau dikurniakan lapan orang anak iaitu Huda, Ammar, Aiman, Muna'izzah, Muhamad Faiz, Salwa, Ahmad Fauwaz dan Ahmad Anas. Beliau bukan sahaja berjaya sebagai ahli politik malah merupakan ketua keluarga yang mithali dalam mendidik anak-anaknya dengan penuh kasih sayang dan bertanggungjawab.

Sememangnya diakui bahawa beliau memiliki bakat kepimpinan yang tinggi. Bakat kepimpinan beliau mula terserlah sejak di bangku sekolah terutamanya ketika menuntut di Maktab Mahmud, di mana beliau memiliki kebolehan berpidato dan mewakili sekolah dalam pertandingan syarahan dan bahas. Keistimewaan yang ada pada beliau boleh berhujah secara spontan dan berkemahiran tinggi dalam ilmu mantiq.


Pada tahun 1967, sewaktu di Al-Azhar, beliau pernah memegang jawatan Setiausaha dan Timbalan Presiden dalam Kesatuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM).


Tahun 1967 beliau pulang ke tanah air dan ditawarkan berkhidmat sebagai tenaga pengajar di Maktab Mahmud. Pada 1973 ditawarkan berkhidmat sebagai pensyarah bahagian pendidikan Islam di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sehingga tahun 1978.


Semasa berkhidmat di UTM, beliau telah dipecat oleh pihak pentadbir UTM ekoran tindakan beliau bertanding dalam pilihan raya pada tahun 1977 di Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Merah dan Parlimen Kuala Kedah.
Walau bagaimanapun, pemecatan beliau oleh pihak pentadbiran UTM tidak sah di sisi undang-undang dan mahkamah telah mengarahkan pihak pentadbir UTM membayar ganti rugi.

Setelah isu tersebut selesai, beliau kembali bertugas sebagai pensyarah dan beberapa bulan kemudian beliau telah meletakkan jawatan kerana menceburkan diri sepenuh masa dalam perjuangan PAS.


Selain aktif dalam politik, beliau juga pemimpin masyarakat yang bergiat cergas dalam kerja-kerja sosial. Beliau pernah memegang jawatan Setiausaha Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) cawangan Negeri Kedah. Beliau pernah menganggotai Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan memegang jawatan Setiausaha Penerangan Pertubuhan itu tahun 1973 hingga 1974. Beliau pernah memangku jawatan Presiden Abim apabila Presiden ketika itu, Anwar Ibrahim ditahan di bawah ISA.

Sepanjang penglibatan dalam Abim, beliau turut terlibat dalam demontrasi menentang isu kemiskinan di Baling, Kedah tahun 1974. Selain itu beliau juga merupakan Setiausaha Agung Persatuan Ulama' Malaysia (PUM) tahun 1974.

Beliau melibatkan diri dalam politik khususnya dengan perjuangan PAS sejak tahun 1959 sewaktu menuntut di Maktab Mahmud. Beliau telah dilantik menjadi Yang Dipertua PAS kawasan Kuala Kedah dan Ahli Perhubungan PAS Negeri Kedah. Kemudian beliau menganggotai Exco PAS Kedah.

Penonjolan daya kepimpinannya semakin cemerlang telah meyakinkan anggota parti untuk melantik beliau sebagai Naib Yang Dipertua PAS Pusat sepenuh masa tahun 1981 hingga 1983.


Tahun 1983 beliau telah dilantik menjadi Timbalan Yang Dipertua PAS sebelum diberikan kepercayaan penuh oleh seluruh ahli PAS untuk menjadi Yang Dipertua PAS tahun 1989 sehingga sekarang dengan gelaran Presiden PAS.


Pembabitan awal Dato' Fadzil di dalam kancah politik pilihan raya bermula tahun 1978, di mana PAS telah memberi mandat kepada beliau untuk bertanding di negeri Kedah dalam pilihan raya umum iaitu di kawasan Parlimen Kuala Kedah dan DUN Alor Merah.

Pada tahun 1980, beliau sekali lagi bertanding dalam pilihan raya kecil di kawasan DUN Bukit Raya berikutan kematian ahli DUN kawasan tersebut. Tahun 1982 beliau sekali lagi bertanding di kawasan DUN Bukit Raya dan seterusnya berjaya mempertahankan kerusi di kawasan itu selama empat penggal berturut-turut sehingga Pilihan raya Umum 1995.

Pada 1982 beliau menang dengan mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Haji Safirol Haji Hasim dan calon bebas Mohd. Mokhtar Abdullah dengan majoriti 346 undi, 1986 menang dengan majoriti 2,215 undi mengalahkan calon BN Ahmad Zakuan Hj. Ahmad, 1990 mengalahkan calon BN Dato' Syed Mansor Barakbah dengan majoriti 1,829 dan pada Pilihan raya Umum 1995 mengalahkan calon BN juga iaitu Fadzil Hanafi dengan majoriti 2,414.
Dan yang terbaru ialah dalam pilihanraya umum ke-10 tahun 1999, beliau berjaya mengalahkan calon BN, Dato' Othman Abdul di Parlimen Pendang dengan majoriti 19,474. Dan di DUN Anak Bukit dengan majoriti 1,480 dengan mengalahkan calon BN. Dato' Hasbullah Hasnan Kamaruddin.

Kemenangan beliau buat pertama kalinya di kawasan Parlimen telah disusuli oleh 26 lagi wakil PAS.
Dan beliau juga telah dilantik sebagai Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia. Manakala di DUN Kedah pula telah disusuli oleh 11 lagi wakil menjadikan wakil PAS di DUN Kedah seramai 12 orang sebelum kemenangan calon KeADILan, Saifudin Nasution Ismail di DUN Lunas dalam pilihanraya kecil akhir tahun 2000 yang lalu. Dengan kemenagan calon BA di DUN Lunas itu menjadikan wakil BA di DUN Kedah seramai 13 orang. Dan kerajaan negeri Kedah kehilangan suara 2/3 di dalam DUN Kedah.

Dengan pengalaman dan jasanya yang banyak kepada rakyat, beliau telah dianugerahkan pingat Dato' Setia Diraja Kedah (DSDK), oleh Sultan Kedah pada tahun 1997, yang membawa gelaran Dato'. Hingga sekarang Dato' Hj. Fadzil Mohd. Noor masih lagi menerajui kepimpinan PAS dan diamanahkan sebagai Presiden parti.


Hari ini adalah hari sedih buat pendokong BA serta para pejuang Islam di Malaysia serta Dunia dengan pemergian seorang mujahid Islam menemui Allah swt.
Allahyarham Datuk Hj. Fadhil Nor telah kembali kerahmatullah untuk selamanya.

Dari Seorang anak desa, Allahyarham telah berjaya menjadi pemimpin ISLAM yang digeruni di Malaysia dan rantau Asia Tenggara. Kini semuanya meninggalkan kenangan pahit dan manis sepanjang hayat beliau. Kini kita semua kehilangan seorang pemimpin perjuangan ISLAM di Alaf Baru ini tapi percayalah ada hikmah disebalik berita sedih buat kita semua.



CATATAN II

Kronologi 20hb & 21hb.Jun.2002

10.30 malam - berita keadaan yang mencemaskan mengenai Allahyarham diterima.


1.30 pagi - keadaan Allahyarham dapat distabilkan.


7.00 pagi - berita Allahyarham sedang nazak telah diterima.


10.30 pagi - berita sedih pemergian Allahyarham kita semua terima dari HUKM.


11.30 pagi - jenazah Allahyarham dibawa ke bilik mayat untuk dimandikan, diwaktu inilah kita lihat ribuan rakyat telah memenuhi HUKM.


12.30 petang - jenazah di bawa ke Surau Taman Jaya (bersebelahan HUKM) dengan diiringi dengan laungan takbir serta tahlil disepanjang jalan yang lebih 10,000 orang mengiringinya.


12.45 petang - jenazah dilawati oleh Dymm Sultan Kedah dan telah disolat jenazah sebanyak 6 kali sebelum masuk waktu zohor. Dimana setiap kali solat jenazah lebih 3,000 orang menjadi makmumnya.


1.45 petang - rakan-rakan bukan Islam dan muslimah dibenarkan melawat jenazah di surau taman jaya.

2.30 petang - jenazah dibawa ke lapangan terbang TUDM subang dengan diiringi oleh ribuan kenderaan dan dimaklumkan lebih 5,000 pendokong BA telah berada di Subang.

2.55 petang - jenazah sampai di Subang, dengan sambutan takbir, suasana sungguh pilu kerana rakyat marhaen dengan jumlah lebih 10,000 orang mengiringi jenazah Allahyarham dari HUKM ke Subang.


3.15 petang - maklumat diterima DSAI telah dibenarkan untuk melawat Allahyarham di Subang, Usaha Nurul Izzah dan Nurul Nuha berbincang dengan Pak Lah di Subang telah berjaya untuk membawa DSAI ke Subang. Penerbangan

3.30 petang telah ditangguhkan untuk menunggu DSAI tiba dari Sungai Buluh.


4.40 petang - memandang DSAI lewat tiba dan waktu sudah terlalu lewat, Pesawat TUDM dengan membawa lebih 100 penumpang telah berlepas tepat jam

4.40 petang dari lapangan terbang Subang ke Kepala Batas.


6.00 petang -jenazah tiba di lapangan terbang Kepala Batas dengan disambut lebih 20,000 rakyat marhaen dan terus di bawa ke Darul Ulum di Pokok Sena, apa yang dimaklumkan lebih 100,000 orang telah menunggu di Pokok Sena.


7.00 petang - dengan bantuan pihak polis dan kerjasama orang ramai jenazah selamat ditiba di Darul Ulum, walaupun jalan raya kesesakkan teruk lebih 20 km, kesan kesesakkan tersebut telah bermula dari Tol-tol yang menghala ke Kedah, dan orang ramai terpaksa berjalan kaki ke Darul Ulum sejauh 10 km.

7.45 malam - selepas solat maghrib dianggarkan lebih 250,000 rakyat marhaen telah berada di Pokok Sena untuk memberikan penghormatan terakhir ke Allahyarham.

8.30 malam - maklumat yang diterima dari jarak 3km ke Darul Ulum telah tidak boleh dimasuki oleh orang ramai lagi, keadaan amat sesak dan padat. Apa yang dimaklumkan ada penyokong BA yang berjalan kaki sejak 6.30 petang ke Darul Ulum gagal sampai kerana keadaan sesak tersebut.

9.15 malam - jenazah Allahyarham telah diusung ala intifadha dari Darul Ulum ke tanah perkuburan dengan diiringi laugan takbir yang bergempita seluruh Pokok Sena dan sayup-sayup kedengaran sambutan takbir tersebut dari para jamaah yang tidak sampai ke Darul Ulum.

9.30 malam - jenazah selamat dikebumikan.

10.00 malam - upacara bacaan talkin dan tahlil selamat dilaksanakan ditanah perkuburan di hadapan Darul Ulum.


10.30 malam - rakyat marhaen datang bertali arus untuk menziarahi kubur Allahyarham, dan dijangkakan menjelang pagi ini masih ramai yang terus menziarahi serta sedekah bacaan yassin dikubur Allahyarham.

11.00 malam - kami keluar dari kawasan Darul Ulum dengan bantuan unit amal yang memberikan kerjasama kepada kami melalui jalan lain.


CATATAN III

100,000 ziarahi jenazah Presiden PAS di Darul Ulum

Lebih 100,000 membanjiri kawasan Muassasah Darul Ulum Pokok Sena bagi memberi penghormatan terakhir kepada Presiden PAS Allahyarham Dato’ Haji Fadzil Mohd. Noor malam tadi.

Orang ramai yang datang dari seluruh pelusuk negara mula membanjiri Muassasah Darul Ulum pada jam 12 tengahari sebaik sahaja mendapat berita yang menyedihkan itu dan jalan yang menuju ke Muassasah dari Alor Setar mula sesak pada jam 3 petang. Selepas itu jalan duahala sejauh kira-kira 20 km itu penuh sesak dengan kenderaan yang menuju ke situ dan beribu-ribu kenderaan terkandas sehingga jam 11 malam malam.

Menurut penduduk sekitar Pokok Sena, inilah kali pertama berlaku dalam sejarah jalanraya menuju ke pekan itu sesak.
Akibat dari kesesakan itu beberapa pimpinan PAS termasuk Mussyidul Am PAS Dato’ Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Timbalan Presiden Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Naib Presiden Dato’ Mustafa Ali, Setiausaha Agung PAS Ustaz Nasaruddin Md. Isa terpaksa dibawa dengan motosikal sejauh kira-kira 6 km ke Muassasah Darul Ulum.

Sementara itu Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim Kepala Batas kira-kira lima ribu orang telah mula menunggu ketibaan jenazah Ustaz Fadzil sejak jam 1 tengahari.


Pemimpin PAS yang menunggu ketibaan jenazah beliau di sini ialah Timbalan Presiden PAS Tuan Guru Haji Abdul Awang dan Ustaz Idris Omar yang tiba pada jam 4.30 petang dengan pesawat MAS, Pesuruhjaya PAS Kedah Ustaz Azizan Abdul Razak, Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kedah Tuan Haji Mustafa Long, Timbalan Pesuruhjaya Dato’ Haji Mohd. Muslim Othman, Ketua Penerangan Ir. Haji Phahrolrazi Haji Zawawi dan Ahli Majlis Tertinggi KeADILan Azmin Ali.


Manakala antara pemimpin Umno yang turut berada di situ ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri Dato’ Zainal Abidin Zain, Menteri Besar Perlis Dato’ Seri Shahidan Kasim dan Exco Kedah Rosnah Majid.


Jenazah Ustaz Fadzil yang tiba dengan pesawat Hercules C-130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia tiba bersama pimpinan PAS pada jam kira-kira 5.30 dan terus dibawa ke Muassah Darul Ulum dengan ambulan milik Pusat Khidmat Wakil Rakyat PAS Kawasan Pendang.


Jenazah beliau yang diiringi kereta peronda polis telah tiba di Muassasah di bawa ke rumah beliau untuk tatapan terakhir ahli keluarga sebelum di usung ke dalam musolla yang terletak kira-kira 500 meter dari rumahnya.


Di dalam musolla tersebut, jenazahnya di tempatkan ditengah-tengah musolla untuk memberi peluang kepada ribuan ahli dan penyokong PAS menziarahi pemimpin PAS itu.


Pada jam 9.00 malam jenazah beliau telah disembahyangkan dengan diimamkan oleh Dato’ Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan bacaan talkin disempurnakan oleh Sheikh Mohammad Abdullah



CATATAN IV

Seorang sahabat memberitahu keadaan Datuk Fadzil Nor tenat di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) malam Sabtu 22 Jun lalu. Saya terasa getar pada suaranya yang seolah-olah memberitahu supaya segera ke HUKM.

Tanpa lengah saya menghubungi Naib Ketua Pemuda Keadilan, Shamsul Iskandar Mohd Akin dan memaklumkan keadaan terkini Datuk Fadzil.
Beliau ketika itu sedang menikmati makan malam di Bangsar bergegas menyemput saya dan seorang lagi sahabat di Bukit Melawati.

Bertiga kami pergi ke HUKM dan sebaik tiba terserempak dengan Dr Mohd Nur Manuty yang berjalan keluar dari hospital diringgi oleh Datuk Dr Hassan Ali serta keluarga. Kami bersalaman dan bertanya khabar terkini Datuk Fadzil dan diberitahu keadaan beliau ketika itu stabil.

"Tadi lepas Maghrib kuman masuk dalam darah jadi keadaan kritikal sikit tapi sekarang Alhamdulilah kembali stabil,"kata Dr Mohd Nur dan diakui oleh Dr Hassan Ali.


Selepas berbual seketika, kami minta diri untuk masuk ke HUKM. Kemudian kami bertembung pula dengan bekas Presiden ABIM pertama, Dr Razali Nawawi yang diiringgi oleh beberapa orang keluar dari HUKM.

Selepas bertanya khabar, berpelukan kami melangkah masuk mencari bilik rawatan Datuk Fadzil. Kedatangan kami disambut oleh Setiausaha Agung PAS, Ust Nasaruddin Mat Isa dan Setiausaha Politik kepada Datuk Fadzil, Dr Hatta Ramli.


Di balkoni sebelum masuk ke bilik rawatan terdapat juga anak lelaki Datuk Fadzil yang kelihatan tenang memberitahu ayahnya telah kembali stabil selain beberapa lain kenalan rapat Presiden PAS tersebut.

Kerana kedatangan saya pada malam itu bukan diatas arahan atau tugas mencari berita, jadi saya hanya berbual-bual dengan Dr Hatta dan mendengar cerita dari Ust Nasaruddin.
Cerita perletakan jawatan Dr Mahathir yang kemudian ditarik balik menjadi bahan berlucu kami malam itu.

Kami pulang ke rumah masing-masing setelah jam menunjukkan pukul 3 pagi.

Pukul 10.50 pagi 23 Jun lalu, Shamsul orang pertama menelifon saya memberitahu bahawa Datuk Fadzil Nor telah kembali ke Rahmatullah. Dalam keadaan terkejut saya menghubungi seorang sahabat dan beliau menyuruh saya bersiap untuk ke HUKM.


Dari jauh saya perhatikan perkarangan HUKM telah dipenuhi oleh orang ramai. Sebaik tiba saya lihat Ketua Pemuda PAS, Mahfuz Omar memberitahu orang ramai bahawa jenazah akan dikebumikan di Muasasah Darul Ulum, Pokok Sena, Kedah.

"Sesiapa yang hendak ke Kedah boleh bertolak sekarang kerana jenazah akan diterbangkan terus ke Alor Setar,"kata Mahfuz kepada orang ramai.

Pemimpin PAS, Keadilan, Umno, dan orang ramai bercampur baur.
Di celah-celah orang ramai itu saya terpandang 'boss' saya, Pak Khalid Jaafar dan peguam muda Yusmadi Yusuf. Saya pergi bertemu beliau dan diberitahu supaya bersiap untuk menghadiri upacara perkebumian Datuk Fadzil Nor di Muasasah Darul Ulum, Kedah.

Ketika kereta kami memasuki pekan Alor Setar jam menunjukkan pukul 5.40 petang. Kami sememangnya menjangkakan kesesakan lalu lintas tapi yang memeranjatkan adalah kesesakan tersebut bermula kira-kira 11 Kilometar dari Muasasah.
Kereta bergerak perlahan dengan di kiri-kanan jalan penunggang motosikal asyik mencelah mencari ruang kosong.

Selepas 3 kilometar bersesak-sesak, kami benar-benar terperangkap akhirnya setelah melihat beberapa pemimpin mula berjalan kaki, kami mengambil keputusan untuk berjalan sama.


Ribuan orang dengan kenderaan terperangkap dan hanya penunggang motorsikal sahaja yang bergerak. Saya lihat Pak Khalid menahan seorang penunggang motorsikal, bercakap seketika dan membonceng motorsikal tersebut diikuti oleh YB Azmin Ali dan beberapa orang lagi.

Ketika itu saya diberitahu jarak Muasasah Darul Ulum dengan tempat kami berjalan kira-kira 7 kilometar.
Setelah berjalan lebih satu kilometer saya lihat bekas Yang diPertuan Persatuam Ulama Malaysia, Ust Ahmad Awang turut terperangkap dalam kereta yang dinaikinya.

Ketika itu, ada sebuah motorsikal berhenti dan bertanya samada saya ingin menumpang beliau. Lelaki lewat 50 an yang masih gagah itu bercerita bahawa beliau adalah orang kampung Pokok Sena. Katanya inilah kali pertama beliau lihat orang seramai ini.

"Ceramah besar selalu ada, tapi ini kali pertama pak cik tengok orang terlalu ramai,"katanya yang bercerita bahawa pada petang itu beliau berulang-alik berkali-kali untuk menumpangkan orang ke muasasah.

"Ust Fadzil orang yang baik hati, dia jumpa kita kat mana pun angkat tangan, tak pernah sombong,"katanya dengan lohgat kedah yang pekat.
"Ust Fadzil minta kalau dia meninggal tanam kat sini (muasasah), dulu Pokok Sena ini orang tak mai, tempat jin bertendang, tapi Ust Fadzil beli tanah berpuluh ekar, buat muasasah, buat tempat ceramah,"katanya penuh dalam remang-remang senja petang itu.

"Anak pak cik mengaji kat muasasah tu, lepas nie boleh sambung pi Mesir, Al-Azhar.
Ust Fadzil la yang suruh buat muasasah tu dulu. Kami orang kampung terhutang budi dengan Ustaz (Fadzil) kalau tak sebab dia mana ada orang Kuala Lumpur sampai kat Jabi (nama kampung), mana ada orang nak peduli dengan kami,"kata beliau yang sanggup berulang-alik dengan motorsikal 'uzur' yang menghantar orang ramai ke muasasah.

Saya tiba di muasasah tapi tidak boleh masuk untuk melihat jenazah kerana orang terlalu ramai. Ketika itu saya terbayang betapa Datuk Fadzil Nor disayangi oleh rakyat Malaysia dan orang Kedah terutamanya.

Saya lihat surau besar di muasasah dipenuhi dengan orang yang membaca Al-Quran, bertahlil dan berzikir. Puluhan ribu lagi di luar terperangkap dalam kesesakan luar biasa di Pokok Sena.


Ketika Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz berucap, beliau berkata, PAS telah kehilangan ramai pimpinan. Di seluruh Malaysia tapi inilah kali pertama dia melihat bagaimana ratusan ribu orang hadir ke majlis perkebumian seorang pemimpin PAS.

"Ini membuktikan perjuangan beliau telah berjaya menyakinkan orang ramai. Orang ramai terhutang budi dengan pemimpin berjiwa besar seperti beliau,"kata Tuan Guru Nik Aziz sebelum mengimamkan jenazah Allahyarham Ust Datuk Fadzil Nor.

Allahyarham sepanjang hayatnya adalah pejuang yang gigih, sabar, komited dan sederhana. Demi kepentingan perjuangan Datuk Fadzil Nor akan bersahabat dengan sesiapa sahaja walaupun orang itu dulu adalah lawan beliau. Sifat tidak berdendam menjadikan beliau dihormati oleh kawan dan segani oleh lawan.

Semoga Rohnya ditempatkan bersama orang-orang yang beriman.-Al Fatihah.


SUMBER : www.mhafezsabri.blogspot.com

1 comment:

  1. assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

    perginya almarhum fadzil noor ke rahmatullah meninggalkan belasungkawa yg tak mungkin kita dapat cari gantinya yg tulen,,PENDOKONG PAS PERLU AMBIL IKHTIBAR AKAN RIWAYAT PANGLIMA GAGAH PAS INI YG AMAT TAWADUK DAN SEDERHANA DALAM FALSAFAH PERJUANGANNYA DIDALAM PAS..BALIKLAH KITA KE ARAH PENYATUAN YG JITU DAN BERISTIQAMAH ATAS SENGKETA YG MELANDA PAS SEKARANG INI

    AL FATIHAH BUAT SEMUA PEJUANG DAN TOKOH PAS

    TERUS BERTAKBIR HINGGA HUJUNG NYAWA

    WASSALAM

    ReplyDelete