Umum mengetahui bahawa selesailah sudah pemilihan untuk menamakan pimpinan baru PAS. Tahniah kepada yang menang dan tahniah juga kepada yang belum menang. Tahniah kepada yang menang kerana anda menang. Tahniah kepada yang kalah kerana anda berani tampil memikul suatu gagasan pemikiran yang anda fikirkan bersesuaian dengan PAS yang berada di alaf ini.
Yang menang, anda wajib memikul amanah ini dengan seamanah mungkin supaya yang carik kerana pemilihan ini bertaut kembali. Yang kalah, anda juga wajib mentaati kepimpinan baru ini walaupun secara kolektif supaya carik cari bulu ayam ini dapat bertaut kembali.
Menang bukan bererti diterima sepenuhnya. Manakala kalah pula bukan bermakna ditolak sepenuhnya. Apa yang penting adalah semuanya mampu duduk semeja bagi memacu PAS ke arah yang diredhai oleh Allah swt supaya PAS tetap menjadi Hezbollah dan bukan Hezbosysyaitan atau Hezbonnafs.
Kami ahli bawahan sayangkan semuanya. Sama ada yang berserban, berkopiah, bersongkok, bertopi besball atau apa sahaja selagi mana individu individu ini berjuang untuk Islam dan ummat dan selagi mana individu individu ini mematuhi soal halal dan haram dalam perjuangan.
Kami ahli bawahan sayangkan semuanya. Baik yang berjubah, berbaju Melayu, berkuftah, berseluar slack mahupun yang berseluar jeans selagi mana Islam adalah tujuan perjuangannya.
Bukan soal lulusan universiti mana atau lulusan bumi mana. Yang penting adalah akidahnya dan imannya. Yang penting adalah keikhlasan perjuangannya. Ulama, tetapi mampu memimpin jemaah ini mendepani karenah langit terbuka. Profesional, tetapi mampu memimpin jemaah ini menangani karenah globalisasi dengan berpandukan dasar dasar halal dan haram yang telah disusun atur oleh Islam menerusi al-Quran dan sunnah.
Bersatulah kerana musuh semakin lemah. Hentikanlah pertelingkahan sesama kita supaya musuh kita itu tidak memukul curi kerana pukul curi itu pasti ada racunnya sekali.
Sesungguhnya yang paling mulia di sisi Allah swt adalah yang paling bertaqwa di kalangan kita. Apa maksud "yang paling bertaqwa"? Yang paling sedar diri bahawa dirinya adalah hamba-Nya. Apa maksud "yang paling sedar diri bahawa dirinya adalah hamba-Nya"? Yang tidak sombong dan yang tidak bongkak serta yang tidak perasan dengan apa yang dimiliki kerana semuanya adalah kurniaan dan milik Allah swt belaka. Maknanya, sama ada ulama atau profesional, sama ada Erdogan atau pro-muqabalah, semuanya akan dinilai berdasarkan taqwa masing masing. Ulama juga boleh dihumbankan ke neraka dan profesional juga ada peluang untuk ke syurga kerana syurga dan neraka ini bukan milik eksklusif mana mana golongan.
Oleh itu, bertaqwalah kita semua kepada Allah swt kerana maut tidak pernah lewat walau sesaat dan tidak pernah terlewat walau sesaat.
Lu fikirlah sendiri.
No comments:
Post a Comment