Friday, August 28, 2009

ISU ZAID IBRAHIM DAN ARAK - PANDANGAN AKU YANG TIDAK TAHU APA APA



Mudahnya kita melabelkan si anu si anu sebagai musuh Islam.

Kenapa kita begitu gemar menjatuhkan hukum berbanding memahami hukum? Sedarkah kita bahawa "kegemaran" menjatuhkan hukum itu sebenarnya membuahkan bibit bibit perpecahan di kalangan kita?

Maksud saya, bukan menjatuhkan hukum terhadap Kartika tetapi terhadap Zaid Ibrahim. Bukan tujuan saya mahu membela Zaid Ibrahim. Luka "saman" sudah sembuh tetapi "parut" di hati masih belum hilang.

Namun, kita perlu melihat sesuatu perkara itu dari sudut keutamaan dan keuntungan jangka panjang. Bukannya berdasarkan "sajian" di hadapan mata.

Contohnya, apabila kita disajikan dengan kurma kambing, maka melelehlah air liur kita jika kita hanya mampu menilai kurma kambing yang disajikan itu sebagai "kurma kambing". Maka, kita akan "melantak" kurma kambing itu dan bukannya kita "makan" kurma kambing.

Tetapi, jika kita melihat kurma kambing itu dari sudut jangka panjang, tentulah kita akan lebih berhati hati menikmatinya kerana kurma kambing itu dilihat menerusi fikiran kita sebagai "agen darah tinggi".

Kita tentu akan memilih untuk menikmati kurma kambing itu untuk jangka panjang berbanding "melantak" kurma kambing itu semahu mahunya tetapi tahun tahun kemudiannya kita tidak lagi mampu menikmatinya kerana "pantang" darah tinggi.

Begitu juga soal hukum, lihatlah dalam bentuk keutamaan dan jangka panjang. Jika hari ini kita "berkeras tidak bertempat" dalam soal hukum, pastinya hukum itu akan berjalan lancar. Namun, apa natijahnya di masa depan?

Sikap keras kita "menegakkan" hukum tanpa meletakkan keutamaan akan membuatkan hukum itu terlaksana sekarang tetapi gagal di masa hadapan.

Maksud saya, hari ini kita mungkin berjaya "menghalang" berlangsungnya konsert itu tetapi dengan "kejayaan" itu, anak muda mula menjauhi kita. Untungkah Islam di masa depan kerana yang akan tinggal dengan kita nanti hanyalah orang orang yang seperti kita sahaja.

Tidak salah untuk kita membantah tetapi sediakanlah dulu "ruang" lain untuk hiburan. Bukankah Islam membenarkan kesenian? Tampilkanlah dulu "ruang ruang" untuk seni Islam disuburkan kerana apabila suburnya seni Islam, maka akan ke kuburlah "seni" yang lain lain.

Itu Zaid Ibrahim dalam isu konsert MLTR dan isu Dr Hassan Ali.

Begitu juga soal Kartika dan arak. Perumpamaannya adalah seperti anda meninggalkan laptop di hadapan pintu dan kemudiannya anda masuk tidur di dalam bilik tanpa menutup pintu. Maka, laptop anda itu tentulah akan dilarikan oleh malaun malaun yang ada. Renungannya, salah anda atau salah malaun itu?

Betul, malaun itu bersalah kerana mencuri. Benar, Kartika bersalah kerana minum arak. Namun, apa puncanya? Adakah pencegahan telah dilakukan sebelum hukuman dijatuhkan? Bukankah Islam itu mencegah sifatnya dan bukan bersifat menghukum? Tanya diri, sudahkah kita melaksanakan pencegahan sebelum hukuman dikuatkuasakan?

Ingat, teliti sejarah dakwah Rasulullah saw. Kebijaksanaan Rasulullah saw wajib dicontohi kerana itulah sunnah yang paling utama. Bukannya sunnah pada pakaian dan budaya. Ya, sunnah tetap sunnah tetapi kenali perbezaannya. Umpama, nasi tetap nasi tetapi nasi lemak dan nasi dagang itu berbeza sifatnya.

Telitilah pandangan pandangan yang ada kerana semuanya membawa kita kepada kebaikan. InsyaAllah.

Pandangan TG Hj Hadi menerusi "mata" ilmunya. Pandangan Zaid Ibrahim juga menerusi "mata" ilmunya. Raikan dan cari titik pertemuan. Jangan wujudkan titik permusuhan.

Kita menjatuhkan hukum bahawa TG Hj Hadi hanya mahir di atas kertas tetapi gagal menzahirkan hukum Islam dalam bentuk perlaksanaan. Apa sandaran dan rujukan kita? Tanya diri kita. Apa sandaran dan rujukan kita dalam hal ini?

Kita menjatuhkan hukum bahawa Zaid Ibrahim musuh Islam kerana membantah sebatan ke atas Kartika, membantah bantahan konsert MLTR dan membantah penguatkuasaan arak ala Dr Hassan Ali. Apa sandaran dan rujukan kita? Tanya diri kita. Apa sandaran dan rujukan kita dalam hal ini?

Jika kita hanya membantah sembrono sahaja maka samalah kita dengan UMNO. Jika kita membantah "ala ala bersandaran" tetapi hakikatnya berlandaskan perasaan sendiri, maka tidak ada juga bezanya antara kita dan UMNO.

Di sinilah munculnya jawapan kenapa Islam memfardhukan menuntut ilmu. Komen orang yang berilmu dengan komen orang yang perasan berilmu dengan komen orang yang tidak berilmu, ada bezanya.

Perbezaan inilah yang akan membawa kita ke syurga mahupun ke neraka.

Wallahua'lam....

No comments:

Post a Comment