Wednesday, August 19, 2009

H1N1 - BUDGET TAK CUKUP UNTUK COVER SEMUA SEKOLAH - SEKOLAH MANA YANG DAH DICOVER - TAK NAMPAK PUN



Kementerian Pelajaran mengakui peruntukan RM2.6 juta untuk membekalkan penutup muka, alat penyukat suhu dan pembersih tangan bagi mencegah wabak influenza A (H1N1) ke semua sekolah "masih tidak mencukupi".

"Memang tidak cukup. Penutup hidung dan mulut memang mahal. Bukan mahal macam mana, (ia) tidak boleh dipakai sampai seminggu atau dua minggu, tetapi sehari.

"Kita bagi pada sekolah. Mungkin kalau pelajar dia tidak ramai, dia boleh bagi. Tetapi kalau pelajar ramai, kita minta pelajar beli sendiri," kata Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dalam satu sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Ditanya jumlah peruntukan tambahan yang diperlukan bagi menampung kekurangan itu, Alimuddin berkata, beliau tidak pasti kerana ia di bawah seliaan langsung Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Wee Ka Siong.

Mengulas lanjut penularan wabak itu di sekolah-sekolah, Alimuddin menjelaskan, setakat ini, lebih 100 sekolah telah ditutup selama seminggu akibat penularan penyakit tersebut.

Bagaimanapun, Alimuddin menegaskan tidak ada sekolah yang ditutup dua kali kerana penularan H1N1.

Berikutan itu, beliau berkata, arahan telah dikeluarkan meminta guru-guru yang mengajar subjek pertama supaya memeriksa tanda-tanda jangkitan H1N1 di kalangan murid mereka.

Para pelajar yang dikesan mempunyai tanda-tanda penyakit tersebut, akan terus dihantar ke hospital, katanya.

Sementara itu, Alimuddin juga menjelaskan, peperiksaan awam di semua peringkat sekolah tidak akan ditangguhkan bagi mengawal jangkitan penyakit berbahaya itu.

Sebaliknya, tambah beliau, kementerian mempunyai pilihan sama ada membenarkan murid yang dijangkiti menduduki peperiksaan di hospital atau mengasingkan pelajar ketika peperiksaan berlangsung.

Jika ramai pelajar dijangkiti wabak itu, sekolah boleh dibuka untuk pelajar yang akan menduduki peperiksaan awam sahaja, tambahnya.

No comments:

Post a Comment