Wednesday, August 19, 2009

TIONG KING SING SUDAH BUKA GELANGGANG - MANA ONG TEE KIAT



Sehingga hari ini Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat bagaikan "menikus" apabila Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Dimensi Sdn Bhd Datuk Seri Tiong King Sing mencabar beliau bersemuka.

Berbeza dengan Ong, Tiong sentiasa menjawab dengan pantas apa sahaja cabaran Menteri Pengangkutan itu.

Semalam, Tiong bukan sahaja mendedahkan bahawa beliau merasa tertipu dengan MCA malah beliau juga mencabar Ong bersemuka selepas mendakwa menteri itu menerima RM10 juta darinya.

Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) itu yang turut mendedahkan ramai pengundi merasa kecewa dengan perjalanan Barisan Nasional (BN) juga mencabar Ong mendedahkan akaun bank beliau dan isterinya kepada umum.

"Saya mempunyai saksi rahsia yang boleh mendedahkan niat sebenar Ong apabila beliau mengarahkan siasatan ke atas isu Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

"Sebaik sahaja selesai laporan PricewaterhouseCoopers (PwC), saksi tersebut memberitahu saya tentang penemuan-penemuan berat sebelah," sebuah laman web memetik beliau berkata.

Walaupun telah 'digerudi' selama empat jam oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tiong bagaikan tidak serik membuat pendedahan demi pendedahan.

Semalam, Tiong mendedahkan beliau merasa tertipu dengan MCA.

Beliau membayangkan, beliau tidak sangka MCA mempunyai aset sebesar RM2 bilion kerana tidak pernah diberitahu perkara itu.

Isnin lalu, Bendari MCA Tan Sri Tee Hock Seng berkata: "Kami mempunyai aset sebanyak RM2 bilion dan tidak memerlukan derma".

Kenyataan Tee itu menimbulkan tanda tanya adakah wang sebesar RM2bilion itu diperolehi melalui "derma-derma" seperti yang didakwa oleh Tiong.

Tiong bukan sahaja mendakwa menghulurkan "derma" sebanyak RM10 juta kepada Ong.

Beliau juga mendakwa telah menghulurkan bantuan kepada projek pendidikan MCA, selain mendakwa turut memberi sumbangan kepada beberapa pemimpin MCA lain.

Kerana menyangka MCA benar-benar memerlukan wang, Tiong semalam membuat satu lagi pendedahan, dengan mendakwa anak syarikatnya hanya mengenakan kadar sewa RM1 bagi kesemua 32 unit yang menempatkan Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR) milik MCA, di Penampang, Sabah.

"Sebelum ini MCA datang kepada saya dan kata mereka tiada duit, kalau saya bantu akan kurangkan beban pelajar. Saya juga telah bayar RM200,000 untuk ubahsuai sebelum diserahkan kepada KTAR.

"Sekarang saya rasa tertipu. Kalau parti itu sudah ada lebih daripada RM2 billion, kenapa ia masih perlu meminta bantuan daripada saya," Malaysiakini memetik Tiong berkata.

Ong sebelum ini mahu menyaman Tiong jika bendahari Parti Demokratik Sarawak (SPDP) itu tidak menarik balik dakwaan mengenai pemberian RM10 juta itu.

Menambahkan lagi kesukaran Ong yang berusaha keras untuk memaparkan dirinya sebagai seorang ahli politik yang bersih, Tiong berkeras tidak mahu menarik balik kenyataannya.

Beliau malah mengalu-alukan laporan polis yang dibuat oleh Ong.

"Beliau boleh teruskan dan saman saya," katanya.

Meskipun Ong menuntutnya memohon maaf, Tiong enggan memohon maaf.

"Kenapa saya harus memohon maaf?" soal beliau. "Atas alasan apa saya harus memohon maaf?"

Malah beliau menambahkan calar ke atas MCA apabila mendakwa Ketua Wanita parti itu, Datin Paduka Chew Mei Fun juga menerima wang darinya.

Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong pula begitu marah terhadap dakwaan beliau menerima RM1 juta dari Tiong.

Menjawab dakwaan Ong bahawa sebuah parti berpengkalan di Sarawak mahu melebarkan sayapnya di Semenanjung, Tiong berkata, bukan urusan Presiden MCA itu untuk masuk campur dalam rancangan partinya itu.

Bendahari Agung Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) itu mengaitkan rancangan partinya untuk melebarkan sayap ke Semenanjung itu dengan kekecewaan "ramai pengundi dan parti-parti politik" terhadap cara perjalanan Barisan Nasional (BN) dan parti-parti komponennya.

Beliau juga membayangkan, SPDP mahu melebarkan sayapnya di Semenanjung "untuk memberi pilihan" kepada pengundi-pengundi yang kecewa itu.

No comments:

Post a Comment