Wednesday, August 26, 2009

BENARKAH "PAS" YANG MENJADI PENGHALANG TUMBANGNYA KERAJAAN TERENGGANU PIMPINAN UMNO



Benarkah Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Harun Taib menjadi penghalang pembentukan kerajaan baru di negeri itu?

Sekurang-kurangnya inilah khabar angin yang bertiup kencang sekarang terutama di kalangan ADUN Umno yang bercadang untuk meninggalkan Umno dan menyertai PKR di negeri itu.

Sembilan ADUN Umno yang diketuai oleh Rosol Wahid dikatakan telah bersetuju untuk menyertai PKR. Mereka dikatakan akan bergabung dengan lapan ADUN PAS dan membolehkan mereka membentuk kerajaan baru di Terengganu.

Tetapi, hasrat ini terganggu apabila Harun yang juga Ketua Dewan Ulama PAS itu tidak bersetuju dengan rancangan itu kerana beliau dikatakan lebih senang bekerjasama dengan Menteri Besar yang ada, Datuk Ahmad Said.

Sebelas ADUN dan seorang wakil ADUN Umno telah mengadakan pertemuan dengan ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sebuah hotel di Kemaman selepas pilihan raya kecil Manek Urai selesai.

Dalam pertemuan itu, kata sepakat telah dicapai untuk membentuk kerajaan baru di Terengganu dengan cara kesemua mereka akan menyertai PKR.

Langkah ini diambil berikutan perpecahan yang berlaku dalam Umno dan 12 dari ADUNnya tidak berpuashati dengan Ahmad.

Terengganu mempunyai 32 ADUN. Umno mempunyai 24, manakala PAS mempunyai lapan. Namun, di kalangan 24 ADUN Umno itu pula berpecah kepada dua kumpulan. 12 bersama Ahmad dan 12 lagi menentang.

Dalam sidang DUN yang lalu, 10 dari mereka telah memboikot sidang itu dengan alasan pejabat MB menghantar mesej mengugut mereka.

Namun, hasil siasatan polis didapati semuanya dimanipulasi oleh bekas setiuasaha politik Datuk Seri Idris Jusoh semasa beliau menjadi MB dahulu iaitu Datuk Ramzi. Kini Ramzi telah didakwa di mahkamah dan sedang menunggu perbicaraan.

Perpecahan dalam Umno Terengganu bermula sebaik sahaja selesai pilihan raya umum ke 12 tahun lalu apabila Idris tidak diperkenan oleh Istana Terengganu untuk menjadi Menteri Besar.

Ekoran itu, Ahmad telah dilantik. Ahmad pula telah mengenepikan semua penyokong Idris dan melantik mereka yang boleh bekerjasama dengan beliau dalam barisan exconya.

"Saya difahamkan, Harun Taib jadi faktor penghalang gabungan ini," kata sumber itu kepada The Malaysian Insider.

Menurut rancangannya, ADUN Umno yang menyertai PKR itu akan bergabung dengan PAS dan membawa undi tidak percaya dalam sidang DUN.

Apabila menguasai kerajaan mereka bercadang untuk membubarkan DUN bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan dan mendapatkan mandat baru dari rakyat.

Sebuah akhbar politik mingguan, Siasah, juga telah melaporkan perkara ini sebelum ini.

Pada 20 Ogos lalu, Ahmad dikatakan telah membuat keputusan untuk membubarkan DUN Terengganu sebelum beliau dijatuhkan.

Namun, menurut sumber itu, apabila Harun tidak bersetuju untuk membentuk kerajaan dengan PKR kerana bagi beliau, hubungan dengan Ahmad lebih baik untuk PAS, Ahmad tidak jadi membubarkan DUN itu.

Hubungan Harun dengan Ahmad mula tersebar apabila Ahmad ke rumah Harun dan membeli dua ekor kambing dari beliau. Penganalisis politik percaya hubungan itu bukan setakat jualbeli kambing sahaja tetapi lebih dari itu.

Namun begitu, menurut sumber lain, cerita Harun tidak bersetuju dengan rancangan kerjasama dengan bekas Umno yang mahu menyertai PKR ini tidak lojik.

Ini kerana, PAS Terengganu pimpinan beliau pada dasarnya setuju dengan rancangan untuk mengadakan pilihan raya semula di Terengganu.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu taklimatnya kepada satu kawasan PAS di Terengganu meminta ahli PAS bersedia untuk menghadapi pilihan raya semula di Terengganu.

Beliau menjangkakan, besar kemungkinan DUN Terengganu akan dibubarkan untuk membolehkan satu mandat baru rakyat di perolehi.

No comments:

Post a Comment