Friday, August 28, 2009

GILIRAN SPRM DIBOGELKAN SAKSI



Aduan berhubung saksi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didera dengan ditampar beberapa kali, dibogel dan dipukul dengan batang besi, bakal didedahkan dalam prosiding inkues kematian Teoh Beng Hock.

Peguam keluarga Teoh, Gobind Singh Deo, berkata beliau akan mendedahkan laporan polis yang telah dibuat oleh saksi SPRM berhubung dakwaan itu bersama-sama bukti gambar kecederaan dialami mangsa ketika disoal siasat di pejabat SPRM Selangor di Tingkat 14, Plaza Masalam di Shah Alami.

Gobind mendakwa antara pegawai SPRM yang terlibat melakukan penderaan fizikal itu ialah saksi ke-19, Penolong Penguasa SPRM Selangor Mohd Ashraf Mohd Yunus, yang memberi keterangan dalam prosiding hari ini.

Peguam itu juga bercadang untuk mengemukakan beberapa soalan kepada Mohd Ashraf berhubung laporan polis itu yang mengaitkannya dengan dakwaan melakukan penderaan terhadap saksi tersebut.

Berikutan itu, koroner Azmil Muntapha Abas menangguhkan prosiding ke 8 September bagi membolehkan Mohd Ashraf untuk melantik peguam kerana soalan yang bakal ditanya Gobind boleh mendedahkan beliau kepada pertuduhan jenayah.

Gobind berkata laporan polis itu menerangkan secara terperinci bagaimana saksi berkenaan didera oleh pegawai SPRM di Tingkat 14, pejabat SPRM Selangor.

"Antaranya ialah pegawai bergilir-gilir menampar saksi, menutup mata saksi dan menyuruhnya berbogel, membalut batang besi dengan surat khabar dan menggunakannya untuk memukul perut, punggung, tangan dan kaki saksi, menendang di bahagian perut serta merotan untuk membelasah kemaluan dan tapak khaki sehingga saksi hampir pengsan.

"Ini bukan satu-satunya laporan polis yang ada pada kami, banyak lagi yang akan kami kemukakan," kata Gobind, yang enggan mendedahkan identiti pengadu buat masa ini.

Berhubung dakwaan itu, peguam pemerhati SPRM, Datuk Abdul Razak Musa berkata: "Itu sudah menjadi amalan biasa, itulah kerja mereka (untuk membuat tuduhan) selepas keluar dari pejabat SPRM atau balai polis.

"Kita tidak boleh menerima dakwaan itu begitu sahaja, sehingga ia dibuktikan kerana kes ini masih dalam siasatan," kata Abdul Razak.

Beliau berpendapat laporan polis itu tidak relevan untuk dikemukakan dalam prosiding itu kerana kejadian penderaan yang didakwa pengadu tidak ada kena-mengena dengan kes kematian Teoh.

Peguam yang dilantik bagi pihak kerajaan Tan Hock Chuan turut bersetuju bahawa kes penderaan yang didakwa itu tidak bersangkutan dengan prosiding inkues, malah nama Mohd Ashraf juga tidak dinyatakan dalam laporan polis itu.

Beliau berkata Mohd Ashraf berhak diwakili peguam jika mahkamah memutuskan untuk membenarkan Gobind melakukan pemeriksaan balas terhadap saksi itu (Mohd Ashraf) berhubung laporan polis berkenaan.

"Saksi (Mohd Ashraf) juga perlu diterangkan mengenai haknya untuk menjawab atau berdiam diri terhadap soalan yang akan dikemukakan oleh Gobind kerana ia boleh mendedahkannya kepada satu pertuduhan jenayah," kata peguam itu.

Ketika ditanya koroner sama ada beliau faham mengenai kesan dan akibat jika menjawab soalan Gobind kelak, Mohd Ashraf, yang kelihatan tenang di dalam kandang saksi berkata: "Saya faham."

"Kamu ada pilihan untuk menjawab atau tidak soalan itu. Jika kamu rasa soalan itu boleh menyebabkan kamu dituduh (atas satu pertuduhan jenayah), kamu ada hak untuk tidak menjawabnya," jelas koroner kepada Mohd Ashraf.

Beliau juga memberi tempoh masa kepada peguam SPRM untuk menyediakan soalan balas serta membuat penjelasan terhadap dakwaan penderaan dalam laporan polis itu, yang masih di peringkat siasatan.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati di Tingkat Lima, Plaza Masalam pada 16 Julai lepas, selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan penyalahgunaan wang kerajaan negeri Selangor kepada SPRM Selangor di plaza itu.

2 comments:

  1. Sungguh bangsat SPRM tunggulah Laknat ALLAH.

    ReplyDelete
  2. We need to do something to save the nation.

    Stand united as one nation.

    ReplyDelete