Friday, August 7, 2009

H1N1 - APA PERANAN KITA



"Situasi wabak H1N1 yang terkini merupakan cabaran yang perlu kita hadapi bersama-sama. Ianya perlu ditangani secara berhemah, menggunakan kekuatan komitmen yang berterusan disertai dengan kesungguhan.

Jika kita semua dinasihatkan melakukan langkah-langkah pencegahan, ianya wajar dimulakan dari setiap individu kita. Bukanlah masyarakat itu entiti yang terpisah, kerana masyarakat itu adalah kita semua.


Jangkitan H1N1 ini ditularkan melalui jangkitan pernafasan (batuk, bersin, mengeluarkan kahak yang kemudiannya bertukar bentuk dalam titisan udara) yang disebarkan melalui udara dan melalui sentuhan langsung oleh tangan yang tercemar dengan virus yang mana tangan itu menyentuh secara langsung hidung dan mulut.

Melalui sebaran ini, H1N1 begitu mudah menjangkiti seseorang individu. Di tambah pula dengan kepantasan kemudahan pengangkutan semasa serta mengambilkira mobiliti individu dalam masayarakat pada hari ini.


Oleh itu, langkah pencegahan yang perlu dijalankan secara serta merta di semua peringkat. Ianya boleh dibahagi kepada dua iaitu pencegahan perebakan dari individu yang sakit dan langkah pencegahan yang perlu diambil dari individu yang sihat.

Bagi yang sudah mendapat jangkitan dengan gejala seperti demam, selsema, batuk dan sakit otot; rawatan boleh dimulakan dengan mengambil ubat-ubat yang mengawal gejala berkenaan serta mengambil vitamin C, air yang cukup dan berehat sepenuhnya. Elakkanlah dari bercampur gaul dengan mereka yang masih sihat.


Elakkan juga dari pergi ke tempat yang sesak dan perlu maklumkan bahwa diri anda tidak sihat. Jangan dekati mereka yang berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi H1N1. Keperluan pengesahan diagnosis sekiranya gejala tidak begitu teruk mungkin tidak diperlukan, namun sentiasalah berhubung dengan doktor untuk mendapatkan nasihat.

Mereka yang sudah mendapat jangkitan ini perlu mempunyai tanggungjawab untuk mengelakkan penyebaran penyakit terus berlaku. Janganlah memikirkan sangat tentang pelbagai ‘dateline’ yang perlu dihadapi kerana kesihatan itu merupakan sesuatu yang tiada gantinya dengan wang ringgit.

Jika keluar ke tempat awam tidak dapat dielakkan, pastikan anda maklumkan kepada mereka yang berhampiran anda bahawa anda tidak sihat; jangan biarkan mereka hampiri anda.

Penggunaan mask (topeng muka) adalah sesuatu yang mesti. Jangan pula anda cemarkan udara dengan bersin atau batuk secara terbuka.

Pastikan sebarang cecair seperti kahak, nasal (hingus) dan air liur dibuang ke tempat yang sepatutnya, bukan merata-rata di tempat awam.

Basuh tangan selepas batuk atau bersin, lebih-lebih lagi jika tangan anda terkena cairan dari nasal dan mulut. Pastikan juga tangan anda tidak memegang ke merata tempat.

Tisu yang digunakan untuk mengelap hidung dan mulut mesti digunakan sekali sahaja, ianya mesti dibuang. Jangan sekali-kali menggunakan tisu berulang-ulang kali.


Bagi mereka yang masih sihat pula perlu mengamalkan sifat berhati-hati. Jaga jarak komunikasi iaitu 3 kaki dari individu yang lain, jangan keluar ke tempat awam tanpa sebab yang kukuh dan kurangkan masa semasa berada di tempat awam.

Jangan pegang mulut dan hidung tanpa membasuh tangan anda terlebih dahulu. Pelihara etika batuk dan bersin ketika berada di tempat awam. Penggunaan mask digalakkan namun ia mesti digunakan dengan cara yang betul.

Pastikan juga anda dan mereka dibawah jagaan anda sentiasa sihat dan bebas dari sebarang gejala penyakit berkenaan. Pastikan juga ruang bekerja dan kediaman anda mempunyai ventilasi yang cukup serta memuaskan.


Bagi anda yang tergolong dalam kumpulan berisiko untuk mendapat komplikasi yang teruk seperti:

1. Umur kurang 5 tahun atau lebih 60 tahun

2. Menghidap penyakit kencing manis, sakit jantung/paru-paru kronik


3. Menjalani rawatan tertentu seperti aspirin, steroid, ubat imunosupresif


4. Wanita hamil


5. Obes (kegemukan melampau)



Langkah-langkah pencegahan perlu lebih serius; penggunaan mask sangat-sangat digalakkan.



Bagaimana memakai mask:


1. Pastikan ikatan yang sempurna, kurangkan ruang antara persekitaran dan muka.


2. Jangan pegang mask dengan tangan yang belum/ tidak dibasuh selepas mask dipakaikan ke bhg muka.


3. Tukar mask segera selepas ianya basah/ lembab selepas batuk dan bersin.



Petikan dari temubual dengan Pensyarah Jabatan mikrobiologi dan Parasitologi Perubatan UPM

No comments:

Post a Comment