Pertama - Ego yang tinggi oleh pimpinan PAS
Tidak ada seorang pun pimpinan PAs yang bercakap soal "bagaimana jika kita kalah di Manek Urai". Semuanya bercakap "kita yakin menang dengan majoriti yang bertambah".
Kita memandang rendah kemampuan musuh.
Kita terlena dibuai mimpi kehadiran 10 000 orang penyokong PAS dan Pakatan berbanding 2 000 orang penyokong UMNO dan Barisan Nasional ketika hari penamaan calon.
Kita mentertawakan program yang dianjurkan oleh parti lawan kononnya sudah ketinggalan zaman. Pimpinan PAS "turun padang" dan bermuka muka seperti pemimpin UMNO dan Barisan Nasional.
Ramai ahli PAS kecewa apabila ada pimpinan PAS yang "turun padang" macam tuan tuan besar ketika kempen. Kami ahli PAS yang datang membantu ini "tidak apa apa" jika terkilan atau berkecil hati. Tetapi bagaimana dengan orang tempatan.
Ada ahli PAS tempatan merungut - "Hinakah kami sampai tak sudi minum air yang disajikan?". Semuanya gara gara "kesibukan" yang ditunjukkan oleh seorang pimpinan PAS Pusat yang hadir berkempen ke rumahnya.
Perkara itu kecil pada kita tetapi tidak bagi penduduk tempatan yang tinggi nilai budinya itu. Keterkilanan "secawan teh O" itu akan diingat sampai bila bila dan akan meninggalkan parut sampai bila bila.
Kedua - Keyakinan dan sikap petugas luar
Petugas luar hadir dengan jumlah yang agak ramai. Namun, itu bukanlah isunya. Isunya adalah ramai yang hadir itu adalah pemerhati dan hadir bukan untuk membantu PAS Kelantan tetapi lebih kepada "mengajar" ahli bawahan PAS di Kelantan bagaimana untuk melakukan gerak kerja pilihanraya.
Ada petugas PAS tempatan yang merungut - "Kami sekolah tak tinggi. Nak tekan komputer pun tak berani. Tapi kami menang dah 20 tahun. Kami pertahankan Tg Hj Nik Aziz dengan tulang dan keringat kami. Berasa hati sangat bila ada orang KL yang menunjuk-nunjuk kemahiran komputer beliau di depan kami. Macamlah kami orang kampung nih hina sangat".
Ketiga - Fungsi petugas luar
Petugas luar sepatutnya membantu mengukuhkan perlaksanaan gerak kerja pilihanraya yang telah diaturkan oleh petugas tempatan. Bukannya hadir dengan modul kempen sendiri dan kemudian "memaksa" petugas tempatan mengikut telunjuk petugas luar.
Walaupun boleh jadi petugas luar yang dimaksudkan itu adalah pimpinan berlabel Pusat tetapi janganlah anggap label label itu merupakan lesen untuk anda membatalkan cadangan atau gerak kerja petugas tempatan.
Keempat - Faktor akhlak dan tingkah laku
Ada petugas PAS yang meninggalkan solat fardhu.
Ada petugas PAS yang kencing di mana mana sahaja yang sempat.
Ada petugas PAS yang enggan menjamah makanan yang dihantar oleh orang kampung ke bilik gerakan PAS.
Ada petugas PAS yang hanya pandai memberikan komen tetapi hakikatnya tak buat apa apa pun.
Ada petugas PAS yang mengherdik "budak pondok" hanya sanya kerana "budak pondok" ini gagal memahami "cakap KL" dengan baik.
Ada petugas PAS yang solat fardhu di penghujung waktu.
Ada petugas PAS yang bergurau senda dengan petugas muslimat macam Pemuda UMNO bergurau dengan Puteri UMNO.
Ada petugas PAS yang tanpa segan silu "mengorat" petugas Nisa'.
Ada petugas PAS yang "bergurau" tak kena tempat dengan pengundi.
Macam macam. Soal keberkatan daripada Allah swt lmenerusi akhlak dan tingkah laku angsung tidak dipedulikan oleh petugas dan pimpinan kita. Kita solat hajat beramai ramai memohon doa kepada Allah swt tetapi kita juga wajib menjaga akhlak kita supaya doa kita itu tidak tersangkut di mana mana.
SPR? Tipu. PDRM? Berat sebelah. MAFREL? Takde gigi. Janganlah hanya hujah hujah itu sahaja yang "disajikan" ketika postmortem. Lihatlah juga faktor diri serta kelemahan kita.
Itu barulah cermin diri namanya. Itu baru muhasabah namanya. Muhasabah ini bukan sekadar "penghias bibir" tetapi wajib dijadikan "penghias hati". Muhasabah bukan setakat sebut "kita kena muhasabah" tetapi lebih kepada mengaku kelemahan diri dan menjauhi serta meminggalkan kelemahan tersebut.
Menuding jari sana sini itu pun bukan muhasabah namanya. Itu menutup kelemahan sendiri namanya.
Kita "yakin" bahawa "janggut dan kopiah" itu sudah cukup untuk menjadikan kita seorang mujahid. Sedangkan yang akan dinilai oleh Allah swt bukanlah "janggut dan kopiah" itu tetapi ketulusan, keikhlasan dan kejujuran hati kita melayari samudera perjuangan ini.
Buat pimpinan, janganlah dimuntahkan di hadapan kami "pengajaran dan falsafah Hunain" hanya sanya mahu menutup kesilapan dan kelemahan kalian.
Kami akan tetap mempertahankan kalian daripada musuh tetapi janganlah memperbodohkan kami seperti mana pemimpin UMNO memperbodohkan ahlinya.
Wahai sahabat, tuntutlah ilmu supaya amal kita itu ada ertinya. Janganlah kita "perasan berilmu" kerana itu akan menghumbankan kita ke neraka.
No comments:
Post a Comment