Kira-kira jam 4 petang Julai 14, ketika pengundi Manek Urai masih sibuk mengundi, Pengarah Operasi pilihan raya PAS Manek Urai, Abdul Fatah Harun, mengeluarkan kenyataan kepada media, "PAS akan menang 2,000 undi."
Sebelum itu, ketika hari masih pagi di hari yang sama, berita angin tersebar kira-kira 1,300 pengundi luar PAS pulang untuk mengundi. Ia melebihi dari mereka yang pulang ketika pilihan raya umum 2008 lalu iaitu seramai 1,200 orang.
Sejak dari awal kempen lagi, PAS sangat bergantung kepada pengundi luar ini. Di Manek Urai, Umno berkata mereka ada 500 hingga 700 pengundi luar manakala PAS pula menyatakan mereka mempunyai hampir 2,000 pengundi yang berada di luar kawasan Manek Urai.
Kedudukan mereka pula merata. Dari Kota Baru sendiri sehinggalah ke Kuala Lumpur, Selangor hatta Singapura dan Johor serta di negeri berjiran dengan Kelantan iaitu Pahang dan Terengganu.
Pelbagai usaha dibuat untuk memastikan mereka pulang. Akhirnya, di pagi Julai 14i, apabila PAS mendapat maklumat 1,300 mereka telah pulang, Abdul Fatah mengeluarkan kenyataan penuh yakinnya itu.
Kini terbukti, kenyataan itu meleset. Hampir pasti tidak semua 1,300 yang pulang itu mengundi PAS. Yang pasti, ada antara 1,300 yang pulang itu turut berbaris di sebuah rumah lama yang menjadi sebahagian Pejabat Kesedar untuk mendapat wang RM300 dari BN untuk setiap pengundi luar itu.
Exco kerajaan negeri Selangor dari PAS, Dr Halimah Ali, dalam kenyataannya melahirkan kebimbangan kalau-kalau serang menyerang antara exco dan ADUN Pakatan Rakyat di negeri itu menjadi punca kekurangan majoriti PAS kali ini. Ini kerana, lebih 100 pengundi luar Manek Urai tinggal atau bekerja di Selangor.
Selain di Selangor, para pemimpin Pakatan juga saling serang menyerang di Kedah dan Pulau Pinang. Seolah-olah mereka tidak boleh sabar buat seketika sehingga pilihan raya kecil itu selasai.
Saya bersetuju dengan Halimah bahawa apa yang berlaku itu menghantar isyarat negatif kepada para pengundi. Selepas mereka tidak boleh percaya kepada Umno, apakah yang mereka boleh harapkan dari Pakatan Rakyat kalau sesama mereka pun berselisih faham dan saling tuduh menuduh.
Selain Pakatan Rakyat, saya juga melihat apa yang berlaku dalam PAS, juga telah memberikan sumbangan dalam pilihan raya kecil ini.
Mungkin isu kerajaan perpaduan tidak memberikan kesan kepada pengundi secara langsung tetapi ia memberikan kesan yang sangat besar kepada jentera PAS di sana.
Oleh kerana agak sibuk dan menghadapi masalah pribadi, buat pertama kalinya dalam mana-mana pilihan raya kecil, saya tidak turun sekalipun ke Manek Urai. Padahal, sekurang-kurangnya saya biaasanya memimpin dua pasukan petugas penting untuk setiap kali pilihan raya yang melibatkan PAS. Namun kali ini, saya terasa khidmat kami tidak berapa diperlukan. Jadi, kami tidak pergi.
Saya telah menghantar seorang wartawan kanan untuk membuat liputan pilihan raya kecil ini. Biasanya, oleh kerana kami rapat dengan wartawan Harakah (kerana ramai antara wartawan Siasah pernah bertugas dengan Harakah), kami akan dapat tinggal dan menumpang di pejabat yang wartawan Harakah bertugas.
Kali ini, wartawan kami itu terasa benar beliau tidak dikehendaki di situ. Dia diminta mendapatkan pas untuk membolehkan beliau bertugas dari pejabat itu. Walaupun nama, surat dan gambar diberikan untuk mendapatkan pas itu, sehingga akhir, beliau tidak mendapat pas kerja itu.
Hasilnya terpaksalah beliau menumpang di lain-lain tempat untuk membuat kerja sebagai seorang wartawan.
Nasib kawan saya ini juga dialami oleh beberapa petugas PAS dari luar Kelantan. Turut mengalami nasib yang sama adalah para pemimpin kanan PAS dari luar Kelantan. Kedatangan mereka seolah-olah tidak berapa dikehendaki di sini.
Saya diberitahu, tiga pemimpin kanan PAS (anggota Dewan Harian) tidak mendapat pas masuk ke pusat penamaan calon. Alasannya kerana pas masuk sudah habis. Tetapi selepas itu sekumpulan ahli PAS yang diketuai seorang anggota Parlimen dilihat mereka masuk ke pusat penamaan calon itu kerana memiliki pas dari SPR yang diperuntukkan kepada PAS itu.
Apabila diselidik, rupanya isu kerajaan perpaduan tidak selesai sebagaimana yang sepatutnya. Untuk menutupnya, pendekatan “localise” telah dikuatkuasakan iaitu isu dan petugas tempatan yang akan mengendalikan kempen ini. Orang luar, hanya “yang perlu” sahaja hadir.
Akibatnya, sebagaimana yanag saya katakan tadi, ramai petugas luar PAS yang datang hanya menjadi pelancong pilihan raya sahaja. Selepas sehari dua tidak berperanan, mereka pulang ke tempat masing-masing.
Kesannya, hanya petugas tempatan sahaja yang mendominasi jentera PAS kali ini. Seorang rakan wartawan melaporkan, ketika PAS sibuk melaksanakan aktiviti untuk menarik golongan belia di padang bola, para pemimpin Umno naik ke rumah-rumah pengundi memberikan wang dan pelbagai jenis projek untuk pengundi.
Turut dijanjikan adalah sebuah jambatan bernilai RM7 juta-RM10 juta yang akan dibina keesokan harinya jika BN menang. Jambatan ini akan menghubungkan Manek Urai Baru dan Manek Urai Lama yang kini dihubungkan oleh jambatan satu lorong sahaja. Inilah yang dijanjikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin.
Hasilnya, yang tinggal menyokong PAS adalah pengundi tegar mereka. Siapakah mereka? Mereka adalah para pemuda PAS yang datang ke situ pada tahun 1970an dahulu untuk menyertai Rancangan Pembangunan Tanah (RPT) anjuran kerajaan negeri di bawah pimpinan Datuk Asri Haji Muda. Ketika PAS hanya tinggal dua kerusi dalam Dun Kelantan pada tahun 1978 dahulu, kerusi Manek Urai adalah salah satu darinya.
Sebab itulah PAS menang di peti undi Lata Rek, Chuchoh Puteri, Sungai Sok dan Sungai Peria kerana di sinilah terletaknya RPT itu. Peti undi yang PAS kalah adalah Manek Urai Baru, Manek Urai Lama, Manjoi, Temale dan Lakloh.
Kini, PAS dan Pakatan kena mengkaji balik apa yang berlaku di Manek Urai. Jadikan ia sebagai satu peringatan. Walaupun PAS Kelantan terkenal dengan kehebatannya namun apabila jentera tidak kompak, musuh-musuh boleh masuk dengan mudah.
Kepada Pakatan Rakyat, jangan mimpilah anda mahu ke Putrajaya melalui pilihan raya umum ke 13 nanti kalau perangai dan tingkah laku masing-masing sebagaimana sekarang. Pengundi Manek Urai telah membunyikan jam loceng amaran kepada anda... tidak perlu salahkan BN, salahkan diri anda sendiri. Percayalah, jika anda berubah, masa belum terlambat. Anda belum kalah tetapi hanya hampir kalah sahaja.
SUMBER : www.themalaysianinsider.com
No comments:
Post a Comment