Monday, July 27, 2009

TG HJ NIK AZIZ : SAYA TIDAK PERNAH LUPA KEKEJAMAN UMNO





Hidung tak mancung pipi tersorong-sorong. Inilah perasaan yang menimpa pemimpin Umno sekarang apabila sedaya upaya berusaha menjalinkan hubungan dengan PAS.

Sedangkan ia tidak lebih seperti bertepuk sebelah tangan.

"Saya pun tak faham kenapa perkara ini boleh berlaku, macam cerita Majnun pula apabila seorang pengembala kambing berhajat untuk mengahwini anak raja.

"Macam-macam kerenah yang dibuat oleh Majnun sehingga pada suatu hari dia duduk seorang diri di bawah pokok sementara menunggu kambing sedang makan rumput, Majnun bercakap seorang diri.

"Apabila kawan dia tanya kamu bercakap dengan siapa, lalu Majnun menjawab, saya sedang bercakap Laila, seorang anak raja.

"Macamana seorang pengembala kambing mahu mengahwini anak raja. Mahu tidak mahu dia menulis nama Laila atas pasir. Dia tulis nama Laila lalu dia baca sendiri berulang kali.

"Kawan dia bertanya lagi, kamu bercakap dengan siapa, lalu dia jawab lagi dengan Laila. Mana Laila, kawan dia tanya, ini� Majnun menunjukkan nama Laila yang dia tulis di atas pasir," katanya Menteri Besar Kelantan ketika ditemui di pejabatnya hari ini.

Sebelum ini pemimpin Umno beriya-iya benar mahu mengadakan kerjasama dengan PAS kononnya untuk perpaduan orang Melayu.

Impian itu dicetus semula pemimpin Umno ekoran kenyataan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta kerajaan pusat memberi kerjasama penuh kepada kerajaan negeri dan melupakan sengketa politik.

Ekoran itu Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, Umno akan membincangkan perkara tersebut dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno Jumaat ini.

Sebelum ini Umno amat mengharapkan perpaduan Umno dan PAS dijalin semula selepas idea kerajaan perpaduan yang dicetus ditarik balik.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, apa yang berlaku terhadap Umno sekarang hampir serupa kisah dengan Majnun yang tetap berkeras mahu berkahwin dengan anak raja.

"Walaupun dia tak dapat kahwin dengan anak raja, tetapi sekurang-kurangnya dia boleh menulis nama Laila dan bercakap dengan Laila seorang diri," katanya.

Beliau juga mempertikaikan laporan akhbar mengenai isu tersebut kerana apa yang disentuhnya sebelum ini hanya berkaitan hubungan kerajaan negeri dan pusat, bukan berkaitan parti.

Katanya akhbar menyebut mengenai perkara itu, namun beliau tidak tahu menahu pun tentang perkara tersebut.

"Sepatutnya perkara yang melibatkan saya kena tanya saya dulu. Orang lain tidak ada hak untuk menjadi jurubahasa kepada saya.

"Saya tidak pernah sebut lupakan perkataan sengketa lama. Saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan sebegitu sebagaimana yang disiarkan sebuah akhbar harian baru-baru ini.

"Tuan-tuan boleh check balik semula record pertemuan antara saya dengan Dato' Mustapa Mohamed di Kuala Lumpur sempena Fiesta Kelantan yang dianjurkan oleh sebuah syarikat baru-baru ini," ujarnya.


Nota : Dengar sendiri penjelasan daripada TG Hj Nik Aziz tentang berita berita "meroyan tahap gaban" yang disiarkan oleh media media yang diperanjingkan oleh UMNO. Mana ada nak kerjasama? Bengong ker apa puak puak UMNO nih.....

No comments:

Post a Comment