Thursday, July 23, 2009

LILIN : PROSES MEMATANGKAN PAS



Sementara kita berusaha menampilkan keterbukaan kita dalam hubungan dengan orang bukan Islam, batas-batas Islam tidak wajar dilangkaui. Menghormati dan menyantuni mereka atas asas kemanusiaan adalah dibenarkan. Namun, memasuki ruang-ruang khusus berkaitan ritual keagamaan mereka adalah salah.

Pas memasuki suatu era baru dalam pendekatan politiknya. Belum pernah dialami bahkan belum pernah terfikir, bahawa Pas suatu ketika dulu yang ditanggapi oleh golongan bukan Islam sebagai parti yang tidak wajar didekati kerana prinsip perjuangannya, hari ini diterima dengan selesa sekali oleh mereka.

Bukan sesuatu yang janggal apabila ada orang berketayap atau berserban dalam majlis mereka. Halangan antara Pas dan bukan Islam yang bukan dibina oleh Pas, tetapi dibina oleh saingan politik Pas berjaya dirobohkan.

Kejayaan merobohkan halangan itu menjadi lebih manis apabila tertubuhnya kerajaan yang diterajui secara bersama oleh Pas dan rakan-rakan politiknya di Perak. Kerajaan Pakatan Rakyat Perak adalah harapan baru rakyat Perak yang menumbangkan BN dalam PRU 12.

Justeru, atas semangat dan keazaman ingin memelihara kerajaan harapan rakyat ini, pimpinan Pas Perak dan rakan-rakannya ‘menatang’ persepakatan ini bagai minyak yang penuh. Namun, sejarah tetap merakamkan bahawa kerakusan Umno untuk berkuasa semula menatijahkan kerajaan harapan rakyat itu tumbang.

Dicelah-celah keghairahan untuk memastikan bahawa persefahaman politik yang berjaya menumbangkang BN itu tetap utuh dan bersemarak, kadang-kadang, batas-batas yang sepatutnya tidak dilangkaui, terlangkau jua.

Demikianlah apa yang belaku kepada Nizar. Pandangan Dewan Ulamak Pas Pusat bahawa Nizar tidak sepatutnya berada dan menyertai upacara itu, merungkai persoalan ini.

Sikap Pas adalah jelas, walau pun Nizar adalah ahli jawatankuasa pusat Pas, apabila sesuatu yang melanggar prinsip agama, walau pun dilakukan oleh pimpinan tertingginya, itu tetap suatu kesilapan.

Nizar melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya beliau lakukan. Saya yakin beliau tahu apa yang patut dilakukannya pula selepas ini.

Kejadian ini adalah pengajaran buat semua. Pemimpin, ahli dan penyokong wajar lebih prihatin dalam perkara ini.

Bagi saya kejadian ini menguntungkan Pas.

Pertama, kejadian ini merupakan suatu proses tarbiah kepada ahli Pas secara amali agar sentiasa menyuluh semua tindakan dengan suluhan wahyu.

Kedua, kejadian ini turut memberi ruang kepada rakan bukan Islam Pas bahawa mereka patut juga belajar mengenai Islam dan memahaminya supaya hubungan mereka dengan Pas bertambah utuh berasaskan kefahaman itu.

Saya katakan, Pas tidak rugi apa-apa dengan apa yang berlaku bahkan kejadian ini membuka lembaran baru kepada hubungan Pas dengan bukan Islam.

SUMBER : www.bongkarsauh.blogspot.com

No comments:

Post a Comment