Saturday, July 11, 2009

SAYANGKAN ISLAM ATAU SAYANGKAN PARTI?





Jika aku diberi pilihan antara sayangkan Islam dan parti, pasti aku akan memilih untuk menyayangi Islam. Parti sekadar wadah. Adapun Islam, itulah matlamat perjuangan.


Padaku, dakwah Islam perlu sampai kepada semua rakyat bawahan, tidak kira mereka itu Melayu, Cina ataupun India. Tidak ada gunanya kita mempunyai kuasa, tetapi dalam masa yang sama, rakyat tidak memahami Islam. Apabila mereka tidak memahami Islam, tidak mustahil dalam PRU akan datang, rakyat akan tolak kita, waimma Islam perjuangan kita.

Tidak dinafikan, agama Islam perlu dijadikan sistem dan undang-undang yang terlaksana. Pun begitu, perlaksanaan Islam itu perlu diberi kefahaman terlebih dahulu kepada rakyat. Ini kerana, tanpa rakyat memahaminya, rakyat yang sama akan memberontak untuk membatalkan perlaksaaan Islam.

Peliknya, ada orang dakwa perjuangkan Islam, tetapi tindakan mereka menggambarkan mereka lebih sayangkan parti berbanding Islam. Disebabkan itulah, kita akan dapati mereka akan bertindak mempertahankan kesilapan parti, waimma Islam mendapat imej buruk dengan tindakan mereka itu.

Jika wujud manusia sebegitu, mereka tidak layak disebut pejuang Islam, tetapi mereka layak digelar pejuang parti.


PARTI??

Parti wujud dengan tujuan untuk mendapat wadah dalam perjuangan untuk memenangkan Islam. Perkara ini terpaksa diakui memandangkan kita “berjihad” dalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi berpilihanraya.

Justeru, kewujudan parti sebagai bekas untuk mencapai matlamat. Dengan maksud, jika bekas tidak berjaya membawa kejayaan kepada tercapainya matlamat, tidak ada gunanya dipertahankan bekas tersebut.

Pun begitu, tidak dinafikan, bekas merupakan faktor penting dalam mencapai matlamat. Ia sama seperti makan nasi dalam pinggan. Tanpa pinggan, nasi memang boleh masuk ke mulut juga. Bermakna, tidak guna pinggan arcopal pun, pinggan besi pun berguna juga. Yang pentingnya, nasi boleh masuk ke mulut.


MENANG

Kelahiran parti dengan tujuan untuk mencapai kemenangan dalam “jihad” pilihanraya. Tanpa menang, tidak ada gunanya masuk pilihanraya. Pun begitu, Islam membenarkan kewujudan parti, bukan kerana pentingkan menang, tetapi mementingkan sampainya mesej islam kepada masyarakat. Dengan kata lain, parti diwujudkan untuk mendapat ruang dalam berdakwah.

Menang bertujuan untuk mendapatkan kuasa. Kuasa digunakan untuk melaksanakan hukum-hukum tuhan yang maha berkuasa. Tidak ada gunanya menang, jika hukum Tuhan yang berkuasa tidak dikuatkuasakan.

Cumanya, perkara penting yang perlu difikirkan, bagaimana nak bagi kuasa Tuhan yang Maha Berkuasa itu boleh dikuatkuasakan? Dikuatkuasakan itu pula, bukan bersifat sementara, malah hendaklah bersentiasa.

Dalam sistem demokrasi, suara rakyat adalah suara keramat. Apabila suara rakyat tidak mewakili Islam, maka suara keramat dalam negara bukanlah suara Islam. pun begitu, apabila suara rakyat sudah menjadi suara Islam, sudah pasti suara keramat dalam negara adalah suara Islam.

Apabila suara rakyat sudah mewakili suara Islam, perlaksanaan Islam pasti akan menjadi mudah, walaupun sebelum kejayaan perlaksanaan Islam, kesusahan dalam menyampaikan Islam amat terserlah.

Justeru, bagi memastikan perlaksanaan Islam kekal sentiasa, hendaklah suara rakyat perlu dijadikan suara Islam. Bagaimana mahu jadikan suara rakyat itu adalah suara Islam? Jawapannya, Islam perlu diberi kefahaman kepada rakyat, bukannya memikirkan mahu menyelamatkan parti.

Sekian

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani
http://g-82.blogspot.com

No comments:

Post a Comment