Tuesday, July 28, 2009

SYAITAN MANUSIA KATA TG HJ NIK AZIZ BUKAN TG TULEN



Beberapa pemimpin Umno amat kesal dengan kenyataan "pergi jahanamlah Umno" oleh Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kerana ia datang daripada seorang pemimpin politik bertaraf ulama dan seorang tuan guru.

Yang lebih mereka kesalkan dan sedih ialah penolakan bulat-bulat Nik Abdul Aziz kepada usaha untuk berbaik-baik dengan Umno yang bagi mereka menunjukkan kesombongan dan sifat keterlaluan Menteri Besar Kelantan itu.

Oleh itu, mereka mahu Umno agar tidak beria-ia untuk bekerjasama dengan Pas kerana beranggapan bahawa semua ucapan Nik Abdul Aziz berhubung soal hendak berbaik-baik dengan kerajaan pusat hanyalah satu lakonan semata-mata.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata Nik Abdul Aziz tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan "Pergi Jahanamlah Umno" kerana beliau merupakan seorang yang dianggap bertaraf ulama.

"Saya sebagai orang biasapun tidak sanggup mengeluarkan kata-kata itu, apatah lagi beliau seorang pemimpin tinggi parti politik yang disebut-sebut sebagai ulama," katanya kepada pemberita di Kota Baharu hari ini.

Awang Adek yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata walaupun dikeji, bagi pihak Umno, beliau sedia untuk berbaik-baik dengan Pas.

"Bagi pihak parti, kita (Umno) dari awal hingga akhir sentiasa bersedia kalau nak berbaik-baik, nak berbincang. Tapi kalau sebelah sana bukan saja tak bersedia, bukan saja mempermain dan mempersendakan kita, sekali boleh, sekali tak boleh...payahlah kita (hendak beri kerjasama).

"Kita orang Melayu dan beragama Islam, bermaruah, berbudaya, perlu membuat contoh yang elok," kata Awang Adek.

Ketua Umno Bahagian Cheras Datuk Wira Syed Ali Alhabshee pula mengingatkan parti itu agar jangan beria-ia dengan cadangan mengenai kerjasama kerajaan pusat dan kerajaan negeri Kelantan.

"Kita sambut baik cadangan itu jika atas nama persaudaraan Islam, tetapi lakonan politik Nik Abdul Aziz sebelum ini menyebabkan kita perlu berhati-hati. Kita perlu berwaspada dengan kenyataan Nik Abdul Aziz kerana beliau merupakan pemain politik yang licik," katanya.

Setiausaha Agung Badan Bertindak Perpaduan Melayu, Hasan Hamzah, berkata sebagai seorang yang dihormati dan diberi kepercayaan oleh masyarakat Melayu, Nik Abdul Aziz sepatutnya tidak boleh mengucapkan perkataan yang bersifat keterlaluan.

"Nik Abdul Aziz bukan tuan guru yang tulen. Kalau beliau boleh keluarkan perkataan 'Pergi Jahanamlah Umno', kita juga boleh kata 'Pergi Jahanamlah Pas'," katanya.

Ketua Puteri Umno Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berharap Umno tidak terlalu teruja dengan bentuk kerjasama yang dikemukakan oleh pemimpin Pas malah mereka perlu berhati-hati kerana Pas mempunyai agenda yang tersembunyi.

No comments:

Post a Comment