Tuesday, July 28, 2009

PAS AKAN TERUS GAGAL DI TERENGGANU JIKA PIMPINAN PAS TERENGGANU TERUS MENERUS SYOK SENDIRI



Oleh : RAMZIREDANG

Bila melihat senario semasa ternyata penolakan rakyat terhadap BN semakin merebak ke seluruh negara pada PRU ke 13 nanti. Terutama dengan kemasukan Chua Jui Meng(MCA) dan S Subramaniam(MIC) ke dalam PKR. Dijangkakan Pakatan Rakyat akan melebarkan penguasaan ke negeri lain termasuk Negeri Sembilan dan Perlis, di samping mengekalkan pemerintahan di Selangor, Kedah, Kelantan dan Pulau Pinang.

Perak yang dirampas dengan cara tidak bermoral oleh BN dipercayai akan dirampas kembali oleh PR dengan undi yang lebih besar. Pahang juga sedang mengalami satu gelombang yang besar, tetapi persaingan tentunya hebat kerana Najib tentu sahaja akan menggunakan seribu macam cara supaya Pahang tidak memalukan ‘1Malaysia’nya.

Namun dalam senario penolakan rakyat terhadap BN di seluruh Malaysia, suasana ‘iklim politik sejuk’ melanda Terengganu.

Sebenarnya sangatlah terlalu awal untuk meramalkan sesuatu yang akan berlaku kerana PRU 13 masih lambat. Paling cepatpun mungkin dua tahun lagi. Tetapi seperti juga kita menjaga kesihatan, lebih baik menjangkakan sakit yang bakal menimpa, jika sekiranya langkah pencegahan tidak diambil dari awal.

Saya sangat berharap tulisan saya dibaca dan direnungi oleh pemimpin PAS Terengganu kerana hanya merekalah yang dapat mencorakkan pemikiran pengundi Terengganu. Saya memang cuba bersabar dan berdoa segala yang membarah diambil langkah segera oleh pemimpin PAS Terengganu. Tetapi saya tidak dapat berdiam diri bila melihat, para pemimpin PAS Terengganu terlalu memandang remeh terhadap situasi sedang melanda ahli PAS bawahan.

Saya melihat beberapa senario yang dapat saya andaikan ianya akan menggoyahkan PAS Terengganu.

1) Pemimpin tertinggi hanya sealiran dengan pemimpin kawasan, sedangkan ajk dan ahli mesyuarat yang lain mula berbeza pendapat.

2) Ahli ‘totok PAS’ mula lembut bahasa dan mula ingin meminggirkan diri. Sangatlah pelik bila dulu ahli PAS totok taat apa sahaja kata pimpinan, tetapi sekarang mula membahas dan menyanggah kata kata pimpinan.

3) Ramai pimpinan PAS Terengganu berucap seperti ‘pelanduk yang lupakan jerat’ padahal jerat tidak pernah lupakan pelanduk.

Melihat kepada sejarah kemenangan PAS di Terengganu pada tahun pada tahun 1999, faktor kemenangan PAS di Terengganu hanya banyak bergantung kepada faktor penolakan bukan faktor penarikan. Maksudnya rakyat pada masa itu menolak UMNO tetapi bukan betul betul tertarik kepada PAS. Undi mereka hanya undi protes. Gelombang perubahan berlaku kerana kepincangan yang dilakukan oleh BN terhadap Anwar. Ramai penyokong UMNO sendiri protes terhadap apa yang berlaku.

Langkah proaktif perlu dilakukan dari sekarang jika PAS Terengganu ingin menawan semula dari tangan BN. Setiap isu yang ada perlulah diambil kesempatan dengan sebaik mungkin. Langkah penerangan dan pemulihan perlu dilakukan segera.

Faktor ‘penarikan’ perlu diimplementasi sebaik mungkin di kalangan pengundi. Kerana hanya bila pengundi tertarik kepada PAS sahaja barulah menjamin kemenangan secara berterusan, biarpun berapa kali datangnya PRU.

Jika sekiranya tajuk yang saya tulis menaikkan darah ahli PAS, maka sesiapa yang terasa naik darah, tersebut perlulah bekerja keras untuk PAS Terengganu. Buktikan bahawa tulisan saya salah dan PAS mampu meranapkan BN pada PRU 13. Masa sekarang bukan lagi masa untuk anda merasa untung dengan isu nasional, sedangkan di kawasan anda, anda tidak mampu menarik orang untuk menyokong PAS.

Selamat Berjuang.

No comments:

Post a Comment