Sunday, July 12, 2009

AKU DAN PAS



Malam nih aku rasa letih sangat. Mungkin sebab tido aku dah jadi tak menentu kot. Kesihatan pun dah kurang mengizinkan. Nak ke mana mana pun kena bawa teman. Selalunya Iskandarlah yang jadi peneman aku.

Banyak kertas kerja yang aku tak dapat nak siapkan dalam minggu nih. Maaf dipohon daripada semua sahabat sahabat yang terbabit terutamanya imam imam masjid sekitar Bandar Tun Razak dan Shah Alam. Bukan apa, aku memang tak dapat nak siapkan sekarang. Keadaan amat tidak mengizinkan.

Maaf juga daripada kekanda di Putrajaya yang minta aku siapkan kertas kerja berkaitan pengukuhan institusi ulama dalam PAS. Kertas kerja tu aku dah emailkan tapi kekanda kata tak dapat. Takperlah. Nanti aku emailkan semula.

Duduk sorang sorang di balkoni nih malam malam macam nih rasa syok juga. Angin pun ada nih. Tak panas sangat.

Melengum sorang sorang nih membuatkan aku merenung kembali penglibatan aku dalam PAS. Sedar tak sedar, dah 16 tahun. Walaupun aku isi borang untuk menjadi ahli rasmi hanya pada sekitar tahun 1999 tapi penglibatan aku bermula sejak tahun 1992 lagi.

Terima kasih kepada Cikgu Rashed yang memperkenalkan PAS kepada aku. Semuanya gara gara solat Subuh pagi Jumaat. Aku pelik apabila yang menjadi imam solat Subuh pagi itu adalah Cikgu Rashed. Cikgu Matematik aku.

Aku diajar bahawa imam tu hanya golongan Ustaz sahaja. Nih pelik. Cikgu Matematik pula yang jadi imam. Aku jumpa Cikgu Rashed semata mata nak tanya hal dia jadi imam tu. Jawapan beliau ringkas - "Inilah orang PAS. Islam adalah kehidupan orang PAS". Aku memang terkedu dengan jawapan itu.

Sejak tu aku jadi agak rapat dengan Cikgu Rashed. Banyak perkara tentang PAS aku tahu daripada Cikgu Rashed. Sampai tahap aku sanggup ikut Cikgu Rashed pergi ceramah di sekitar Taiping. Malah, kadang kadang sampai ke Batu Kurau. Ada sekali tu, Cikgu Rashed suruh aku bantu petugas pungut derma. Adoiii...berpeluh juga aku malam tu.

Perasaan malu itu akhirnya bertukar puas apabila tugasan memungut derma tu selesai. rasa puas sebab bila Cikgu Rashed kata - Mad, anta dah berjaya lalui ujian pertama. Cikgu Rashed peluk aku lepas dia cakap macam tu kat aku.

Aku mula berjinak jinak menghafal surah surah pendek yang panjang juga sebenarnya. Cikgu Rashed "pandu" aku dan beberapa orang sahabat untuk menjiwai buku "Apa ertinya saya menganut Islam". Hari nih baru aku tahu bahawa itulah usrah namanya.

Atas istiqamah Cikgu Rashed, aku dan beberapa sahabat diperkenalkan kepada almarhum Tuan Guru Hj Fadhil Noor yang kami tak pernah kenal pun sebelum itu. Kali pertama jumpa, aku tanya almarhum - Apsal PAS kata UMNO kafir?

Almarhum tersenyum. Almarhum tanya aku - Mana hang tau? Aku jawab - Aku dengar budak budak sembang di sekolah. Almarhum kata - Hangpa kena mengaji. Baru hangpa faham. Takat dengaq saja tak boleh.

Almarhum gosok kepala kami sorang demi sorang waktu nak bersurai. Hampir setengah jam juga kami dibiarkan bersembang dengan almarhum.

"Jiwa ayah" almarhum ketara sekali. Lebih lebih lagi kepada nak yatim macam aku. Tengku Fauzi asyik cium tangan dia waktu dalam van Cikgu Rashed. Dia kata - Aku akan makan dengan sudu selagi bau minyak wangi Ustaz Fadhil tak hilang dari tangan aku. Tangan nih aku tak akan basuh walupun waktu mandi.

Hari nih Tengku Fauzi dah jadi hafiz. Bukan sebab masuk mana aman Maahad Tahfiz tapi kerana bersungguh sungguh menghafal sendiri.

Seingat aku, lebih sepuluh kali juga kami bertemu dengan almarhum dalam pertemuan yang seperti itu. Almarhum biasanya akan membahasakan kami sebagai "anak abah". Ya Allah, bahagianya kami waktu itu.

Panas tidak sampai ke petang. Allah swt lebih menyayangi Cikgu Rashed. Allah swt mengutuskan Izrail datang menjemput Cikgu Rashed sewaktu kami balik dari menunaikan solat Jumaat di Masjid Telekom.

Sejak itu, kami 13 orang yang dididik oleh Cikgu Rashed tidak lagi berpeluang hadir ke program program PAS sebab cikgu cikgu lain tak berani "seludup" kami keluar seperti mana Cikgu Rasheed.

Hamdi yang agak menonjol berbanding kami yang lain nih memimpin kami setiap malam untuk membaca Mathurat seperti mana kelaziman yang kami buat sewaktu Cikgu Rashed berada bersama kami.

Ada sekali tu, Hamdi menangis macam budak budak waktu baca Mathurat. Dia benar benar teringatkan Cikgu Rashed. Kami yang lain pun turut meleleh air mata. Itulah nikmat ukhuwwah Islam yang ditanamkan kepada kami oleh "didikan" PAS.

...................

Cukuplah aku menerawang kisah lama....aku sebak sangat bila "recall" memori menori indah nih. Hari nih, kami yang 13 orang ini berada di dalam PAS. Malah, salah seorang dari kami dah pun menjadi YB.

PAS hari ini tidak lagi seperti dulu. Jika dulu, sesiapa sahaja bebas untuk membantu. Sekarang tidak lagi. Segala galanya "unit Amal" yang buat. Baguslah. Ada perubahan. Tapi janganlah menjadikan baju merah itu sebagai keegoan anda untuk tidak bercampur dengan orang lain.

Pemuda PAS pun tak macam Pemuda PAS dulu dulu. Kalau dulu, Pemuda PAs takde banyak "trademark". Hari nih dah macam macam "trademark". Baguslah. Dunia pun berubah. Maka Pemuda PAS juga wajib untuk tidak ketinggalan dalam hal sebegini. Islam perlu gah di persada dunia. Tetapi, janganlah "trademark trademark" itu menjadi jurang di antara kalian dan ahli ahli yang "bergelimpangan" ini.

PAS juga semakin ke depan berbanding dulu. PAS mampu menjiwai pelbagai isu selain isu agama. Alhamdulillah. Tetapi janganlah keadaan dan perubahan ini membuatkan kita gagal untuk terus menjiwai kerja kerja dakwah (bukan dakwah dalam gelap).

Apa apa pun, istiqamahlah dan muhasabahlah wahai sahabat sekalian. Yakinilah Islam pasti menang. Itu janji Allah swt kepada ummah......Alangkah bahagianya jika almarhum Tuan Guru Hj Fadhil Noor masih ada bersama kita.

Al-Fatehah untuk almarhum TG Hj Fadhil Mohd Noor, almarhum Cikgu Rashed dan semua pejuang Islam yang telah pun dijemput oleh Allah swt.

No comments:

Post a Comment