Wednesday, July 15, 2009

MUHASABAHLAH WAHAI PIMPINAN PAS



Di Manek Urai, saya katakan bahawa Pas menang di atas kertas. Dan, izinkan saya untuk berkata, Pas tewas dari sudut-sudut tertentu. Walau pun secara rasminya, yang diambil kira ialah keputusan di atas kertas, namun sebagai gerakan Islam kemenangan di atas kertas sahaja tidak memadai.

Apabila saya kata Pas tewas dari sudut-sudut tertentu, bukan bermakna Umno menang dari sudut yang Pas kalah itu, tidak. Di Manek Urai, Umno tewas di atas kertas dan tewas juga dari semua sudut. Malah, dimana-mana pun, walau pun Umno menang, mereka tetap kalah dari sudut-sudut lainnya.

Mengapa saya berani berkata Pas kalah dalam beberapa sudut di Manek Urai?

Saya sayangkan Pas dan saya tidak mahu Pas kalah dari sudut mana pun. Sebab itu, apabila Pas menang di Manek Urai saya suka, tapi dalam masa yang sama banyak sangat perkara yang menyesak dan mengasak benak saya, sehingga saya berani menyimpul, Pas kalah dalam banyak sudut.

Saya tidak suka menyebut secara khusus sudut-sudut itu bimbang disalah tafsirkan. Namun, sesiapa yang berada di Manek Urai dan terlibat secara aktif, mereka akan terhidu beberapa sudut yang boleh dikatakan sebagai ‘Pas kalah’ dari sudut itu.

Untuk menggambarkan sudut-sudut kekalahan itu, izinkan saya mengungkapkannya dalam bentuk pertanyaan untuk menjadi renungan.

  • Adakah benar kita menyertai PRK Manek Urai dalam suasana kasih-sayang dan ikatan persaudaraan berasaskan jamaah teruji dan longgar?
  • Mengapa ada yang boleh turun dan ada yang tidak, ada poster yang boleh terpamer dan ada yang tidak?
  • Benarkah ada pihak yang mengambil kesempatan gelanggang terbuka ini untuk menuding jari dan menjeling tajam kepada orang-orang tertentu?
  • Mengapa dibiarkan ahli-ahli gelisah dan resah dengan pelbagai soalan yang sukar dijawab?
  • Betulkah mereka yang berada di luar Pas yang bersedia membantu kita, turut merasa rimas dan lemas dengan kerenah sesama kita?
  • Benarkah ada orang yang merasa dirinya bijak dan hebat sehingga menafikan kebolehan dan keupayaan orang lain?

Cukup sekadar itu.

Bagi saya, itulah sudut-sudut yang kita kalah. Saya tidak bermaksud Umno menang dari semua sudut itu, tidak. Dan, Pas tidak kalah dalam sudut-sudut itu kepada Umno.

Kalau begitu, Pas kalah kepada siapa?

Bagi saya, dalam sudut-sudut tadi Pas kalah kepada kepentingan-kepentingan, desakan-desakan, asakan-asakan dari dalam diri pendokongnya sendiri.

Apa desakan, asakan dan kepentingan itu? Saya ada jawapannya tetapi saya tidak sampai hati untuk menyebutnya di sini.

SUMBER : www.bongkarsauh.blogspot.com

No comments:

Post a Comment