Monday, July 13, 2009

BOLEH JIKA UNTUK KEPENTINGAN AGAMA TETAPI BUKAN UNTUK PERBINCANGAN POLITIK




Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, perbincangan antara Pas dan UMNO tidak menjadi masalah untuk dilaksanakan jika tujuan dilakukan demi agama dan kebaikan rakyat.

“Jika perbincangan dengan UMNO untuk kebaikan tidak apalah. Awal-awal lagi apa yang kita sekat adalah (perbincangan) bentuk politik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengenai Pas terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan mana-mana pihak termasuk UMNO untuk menyelesaikan isu berkaitan agama.

Namun Abdul Hadi menyatakan perbincangan dengan UMNO perlu berlandaskan al-Quran dan hadis.

Abdul Hadi dilaporkan berkata demikian di Kuala Krai kelmarin ketika mengulas kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang mempelawa Pas berbincang dengan parti itu mengenai isu Islam dan masa depan Melayu.

Sementara itu, Menteri Besar Kelantan terbabit berpuas hati dengan kehadiran Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa yang turun padang ke Manek U rai kelmarin dan kedatangan beliau boleh memperbetulkan keadaan berikutan pelbagai spekulasi timbul.

“Terima kasih banyak kerana dia (Nasharuddin) datang, saya puas hati kerana walaupun dia dalam keadaan uzur masih datang.

“Saya tidak tahu dia operate (menjalani pembedahan), jika saya tahu saya minta dia tidak datang. Saya tahu macam mana keadaan orang lepas operate. Saya lihat dia nak bangun pun susah,” katanya mengulas mengenai kehadiran pertama kali Nasharuddin di Manek Urai, kelmarin.

Ketidakhadiran Nasharuddin pada hari penamaan calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai 6 Julai lalu menimbulkan spekulasi dan kehadirannya Sabtu lalu menjawab teka- teki selama ini.

Nasharuddin hanya muncul kelmarin pada majlis solat Duha bersama Nik Abdul Aziz di Manik Urai walaupun tidak sempat menyampaikan ceramah kerana keuzurannya.

No comments:

Post a Comment