Saturday, July 4, 2009

BUKAN MASANYA UNTUK BERTEMU PEMUDA UMNO TIDAK KIRA ATAS APA TUJUAN SEKALI PUN




Tiada siapa yang waras tidak bersetuju dengan perbincangan, wacana atau perdebatan. Apatah lagi sekiranya itu semua dibuat atas paksi dakwah. Semua itu memang baik, elok dan memang dianjurkan. Memang banyak bukti dan dalil daripada seerah dan kitab suci yang menggalakkan pembawa Islam melaksanakannya.

Tetapi ada dua persoalan yang perlu dinilai dengan saksama. Pertama, mengapa Umno? Kedua, mengapa sekarang?

Kewibawaan pimpinan pemuda Pas untuk berdepan dengan Umno memang tidak diragui. Lebih-lebih lagi apabila kita berpegang dengan Islam, tentunya tiada hujah seampuh hujah Islam.

Orang Arab bermadah, “Setiap perkataan ada tempatnya, setiap seni ada ahlinya dan setiap ilmu ada orangnya”. Apa yang diragui ialah kita mungkin salah masa dan orang.

Diulangi, berdebat, berhujah, berwacana, itu tidak menjadi soal, tetapi soalnya ialah; adakah ini masa yang sesuai? Adakah pemuda Umno adalah kelompok yang sesuai?

Sekarang adalah masa yang sesuai sekiranya Umno bukan dalam situasi mencari peluang untuk bernafas. Situasi sekarang tidak sama dengan situasi Fadhil Noor sepentas dengan Mahathir. Pada waktu itu orang ramai ingin melihat Pas membuktikan wibawanya mendepani persoalan umat. Fadhil Noor berjaya melakukannya.

Kini, Pas semakin mara dan Umno pula semakin menggelungsur turun. Berwacana ilmiah dengan Umno seolah-olah memberi ruang Umno memulihkan wibawanya.

Suatu masa dahulu Shahidan Kassim banyak kali menjemput wakil Pas termasuk saya untuk berwacana mengenai pelbagai isu yang dipilih oleh MB itu di Radio 3 Kangar. Orang ramai menunggu wacana itu untuk mendengar Shahidan menghentam kami, namun apabila sampai peluang kami bercakap, orang ramai turut berpeluang juga mendengar hujah kami.

Akhirnya, program itu dihentikan kerana ‘orang turut mendengar kami di samping mendengar Shahidan’.

Wacana pemuda ini memberi peluang orang mendengar Umno di samping mendengar kita. Mengapa kita perlu memberi peluang orang mendengar Umno dalam situasi orang tidak mahu mendengar lagi mengenai Umno?

Sebab itu bagi saya ini bukan masa yang sesuai. Masa idea kerajaan perpaduan belum benar-benar sejuk.

Kemahuan Mursyid Am untuk berdebat dengan Najib tak sama dengan kemahuan pemuda. Mursyid Am berada dalam situasi menyerang sebab dia pembangkang paling kuat idea kerajaan perpaduan. Najib pula orang yang sangat kempunankan idea itu.

Umum tidak melihat debat Nik Abdul Aziz dengan Najib sebagai debat ke arah kerajaan perpaduan. Nik Abdul Aziz menyerang bukan bertahan.

Nasrudin dilihat oleh umum sebagai penyokong idea itu. Pemuda Umno macam Najib juga, kempunankan idea itu. Dalam konteks ini, Nasrudin tidak dilihat menyerang tetapi bertahan. Persepsi umum ialah, langkah pemuda ini dilihat sebagai langkah memanaskan kembali idea kerajaan perpaduan yang telah dimuktamadkan untuk ditutup.

Ini tentunya mengundang persepsi negatif rakan-rakan Pakatan Rakyat dan segenap lapisan penyokong akar umbi yang meluatkan Umno dan kerajaan perpaduan.

Sebab itu, pemuda Umno bukan kelompoknya untuk diajak berwacana pada masa ini. Saya setuju dengan debat atau wacana ilmiah tetapi bukan masa ini dan dengan pemuda Umno.

Apa pun, jika wacana ini telah dimuktamadkan saya tetap mengharapkan kebaikan untuk Pas. Saya tetap menyertai Nasrudin dan semua sahabat saya dalam pemuda dengan doa. Kita di atas landasan yang sama walau pun kita mungkin berbeza persesi dalam beberapa hal.

Selamat maju jaya.

SUMBER : www.bongkarsauh.blogspot.com

No comments:

Post a Comment