Monday, July 6, 2009

SAH UMNO LAWAN PAS DI MANEK URAI




PROSES penamaan calon pilihan raya kecil Manik Urai sudah pun selesai. Dua calon bertanding telah pun diumumkan. Mereka ialah Fauzi Abdullah, 50 dari Pas dan Tuan Aziz Tuan Mat dari UBN, 39.

Nampaknya kali ini tidak ada calon bebas yang ikut serta bagi memeriah dan sekaligus menganggu pilihan raya berkenaan. Mungkin dalam keadaan ekonomi tidak sihat, tiada siapa untuk jadi tidak siuman bagi menghabiskan wang untuk dijadikan deposit RM5,000. Mungkin juga di Manik Urai tidak ada wanita yang kurang siuman yang tergila-gila nak melihat foto mereka ditampal di pokok kayu!

Pertandingan antara Pas dengan UBN adalah pertandingan tradisi. Apapun keadaan mereka akan bertanding dan terus bertanding antara satu sama lain. Pertandingan kadang kala bukan sangat kerana yakin menang tetapi kerana dendam kesumat antara satu sama lain.

Jika dilihat kepada semangat dan sokongan, ternyata calon Pas, Fauzi mendapat sokongan hebat. Lebih 12,000 para penyokong dan ahli Pas mengiringi Fauzi ke pusat penamaan calon di Sekolah Menengah Yahaya Petra, di Kuala Krai.

Berbanding dengan penyokong dan ahli Umno yang mengiringi calon mereka, Tuan Aziz sekitar 4,000 orang saja. Jika jumlah sokongan ini diambil kira sudah pasti Pas akan dapat mengekalkan kerusi berkenaan dengan begitu mudah.

Tetapi kerana politik adalah politik, tidak kira musim hujan, panas atau sejuk, Pas dan Umno tetap juga akan bertarung. Keduanya perlu menyertai mana-mana saja pilihan raya bagi membutkikan mereka masih kuat. Soal kalah menang soal kedua yang boleh dijustifikasikan dengan sifar-sifar ilmu politik. Apakah kerana amalan politing bermusuhan itu merugikan bangsa dan agama, kedua-duanya tidak akan menghiraukannya.

Misalnya kalau UBN tewas pada 14 Julai nanti, akan adalah alasan-alasan yang direka dan dicipta khas untuk tidak menampakkan parti berkenaan lemah dan semakin ditolak rakyat. Akan dituduhkan kononnya ada permainan dan tektik-tektik kotor yang dimainkan oleh pihak Pas.

Kita berharap biarlah keadaan itu tidak berlaku lagi. Kalau UBN kalah maka UBN kena menerima hakikat kekalahan mereka dan jangan cuba hendak mencari helah seperti orang yang tidak pandai menari akan salahkan tanah tinggi rendak apabila tarian mereka songsang.

Dalam perarakan menunju ke pusat penamaan calon hari ini keyakinan dan kehabatan Pas ternyata sekali. Dua pemimpin utama Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Abdul Hadi Awang turut sama mengiringi Fauzi.

Perarakan yang berlangsung dalam suasana ukhwah dan semangat tinggi menampakkan Pas tidak menghadapi apa-apa masalah. Ternyata isu unity goverment dan perselisihan pendapat antara Nik Aziz dengan Abdul Hadi yang cuba dieksploitasikan oleh UBN tidak akan menjadi.

Jelas sekali kehadiran begitu ramai penyokong Pas menggambarkan sikap semula jadi orang Pas di mana mereka akan bersatu bila berdepan dengan lawan. Mereka boleh melupai soal titik bengit dan melangkah sederap untuk menghadapi musuh, UBN. Ahli Pas tidak membawa masalah peribadi dalam parti mereka sehingga boleh memporak perandakan parti itu.

Manakala kehadiran penyokong UBN hanya sekitar 4,000 itu menunjukkan bahawa UBN kurang yakin dengan pilihan raya berkenaan. Mungkin penyokong UBN dari luar Kuala Krai tidak 'ada angin' (tidak ada semangat) untuk datang kerana sudah dapat membayangkan awal-awal lagi calon mereka akan tewas.

Sekiranya penyokong UBN dapat merasakan mereka berpeluang sudah tentu mereka akan ramai-ramai ke Kuala Krai dan Manik Urai kalau pun bukan untuk melihat kemenangan tetapi sekurang-kurangnya untuk memakan durian dan rambutan yang menjadi waktu ini.

Apabila mereka jadi tidak ada angin maka jelaslah UBN dalam keadaan sudah kalah sebelum berjuang. Mungkin berdasarkan hakikat inilah menyebabkan Pas menyarankan supaya lebih baik UBN tidak bertanding dan membiarkan kerusi itu kekal ditangan Pas.

Petunjuk yang dapat disaksikan hari ini pastinya akan menjadi perkiraan dan hisab pengundi di Manik Urai. Tidak ada guna kalau mereka bermati-matian untuk memberi undi kepada Tun Aziz kalau petanda UBN akan kalah sudah jelas kelihatan. Pastinya pengundi yang seronok dengan kemenangan Pas akan mengekalkan undi mereka kepada calon Pas.

SUMBER : www.kerabubersuara.blogspot.com

No comments:

Post a Comment