Bukan sekali saya berhadapan dengan situasi ini. Anak lelaki saya yang berusia 9 tahun yang bersembahyang di sebelah saya di saf pertama atau kedua akan diminta ke belakang. Sebenarnya saf paling belakang bersama kanak-kanak yang lain.
“Putus saf”, itulah kata mereka. Seringkali juga saya meminta anak lelaki saya kekal di tempatnya. Seusai solat, ekor mata orang yang tidak bersetuju dengan tindakan saya akan tajam merenung.
Saya faham dia tidak setuju tetapi dia tidak berani bersuara. Kalau dia bersuara, saya akan jelaskan duduk perkara yang sebenarnya.
Anak-anak memang wajar dibiasakan untuk ke masjid. Mereka perlu difahamkan bahawa masjid bukan untuk ‘orang pencen’. Tetapi masjid kita rata-ratanya tidak mesra kanak-kanak. Bacalah saja pelbagai amaran terhadap kanak-kanak di masjid. Peraturan untuk mereka di masjid kadang-kadang setanding peraturan untuk banduan di penjara.
Membawa anak-anak ke masjid menyamai ajaran nabi. Baginda membawa dua cucunda baginda, Hasan dan Husain ke masjid. Kadang-kadang baginda memanjangkan solat kerana Hasan dan Husain berada di atas belakangnya yang mulia itu.
Memang ada sumber sunnah yang menyebutkan bahawa di masjid nabi, saf kanak-kanak lelaki di belakang saf lelaki dewasa dan saf wanita di belakang saf kanak-kanak lelaki.
Nabi juga mengajarkan supaya orang yang di belakang baginda di dalam solat ialah lelaki yang baligh dan cerdik supaya baginda dapat diingatkan sekiranya terlupa atau digantikan sekiranya perlu.
Namun itu tidak bermakna kanak-kanak boleh dinafikan daripada berada di celah-celah orang dewasa di saf yang hadapan. Lebih-lebih lagi sekiranya mereka datang lebih awal ke masjid.
Masjid adalah rumah Allah, sesiapa sahaja berhak mengunjunginya. Sesiapa yang mengunjunginya dikira tetamu Allah. Layanan Allah kepada hambanya yang mengunjunginya adalah sama rata. Sesiapa yang datang awal dialah yang berhak berada di hadapan walau pun dia adalah kanak-kanak.
Bahkan nabi melarang kita menyuruh orang lain mundur dan kita mengambil tempatnya. Sama halnya, dengan menyuruh kanak-kanak mundur ke belakang dan kita mengambil tempatnya. Itu juga boleh menjadikannya membenci masjid dan orang yang datang ke masjid.
Arahan nabi supaya orang lelaki dewasa berada di belakang baginda dalam saf solat bukan untuk meminggirkan kanak-kanak tetapi untuk menggalakkan orang dewasa supaya datang awal ke masjid dan mengambil saf hadapan.
Nabi tidak pernah meminggirkan kanak-kanak. Baginda bersolat di rumah Abi Talhah dengan Anas dan seorang anak yatim lain di belakang baginda. Ummu Sulaim pula di belakang kedua-dua anak-anak itu. Baginda juga bersolat dengan Ibnu Abbas yang masih anak-anak dan berdiri di sebelah kanannya.
Justeru, kalau nabi tidak meminggirkan kanak-kanak, mengapa orang dewasa hari ini yang ke masjid meminggirkan kanak-kanak? Kanak-kanak diletakkan di belakang sekali, berhampiran pintu keluar. Mereka berada sesama mereka. Bising.
Oh ya, kanak-kanak itu belum berkhatan. Jangan salahkan mereka atau pinggirkan mereka kerana belum berkhatan, tetapi ajarilah mereka cara bersuci dengan betul sekiranya belum berkhatan. Apa masalahnya kalau tidak berkhatan?
Tidak boleh menyentuh mereka dalam solat, batal. Adakah bersentuh dengan anak-anak yang belum berkhatan ketika solat membatalkan solat? Jawabnya, tidak kerana anak-anak itu bukan najis. Menyentuh kanak-kanak belum berkhatan bukan menyentuh najis.
Kita susah hati dengan kanak-kanak bising pada hari Jumaat ketika solat. Bukan salah mereka tetapi salah kita yang sudah tua ini. Kita rasa kita lebih pandai dari kanak-kanak pada hal kita sebenarnya bongkak dengan ketuaan kita.
Apa salahnya, kita masukkan mereka di celah-celah kita saf orang dewasa. Berkhatan atau tidak berkhatan, jangan ditanya lagi. Tidak batal solat bersentuh dengan anak-anak yang belum berkhatan dalam solat. Berapa kali mahu diulang? Tak percaya juga, cari kitab fiqh dan baca. Kalau tak tahu baca itu salah kita. Mengapa kesalahan kita dibebankan ke atas bahu anak-anak?
Apabila mereka berada bersama kita, di celah-celah kita orang dewasa, sekurang-kurangnya mereka akan lebih berdisiplin dan mungkin tidak akan bising lagi pada hari Jumaat.
Kepada orang Pas, kita tidak perlu tunggu Umno kalah pilihanraya untuk lakukan ini. Kepada orang Umno anda juga tak perlu tunggu kerajaan perpaduan untuk amalkan ini semua. Untuk DAP, MCA dan MIC, sorry anda semua tidak termasuk dalam topik ini.
Sayang, kalau orang politik kita tidak mampu melakukan perubahan sekecil ini.
SUMBER : www.bongkarsauh.blogspot.com
No comments:
Post a Comment