Thursday, August 6, 2009

DAPSY SANGGAH JEFF OII DALAM ISU JIM



Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Pulau Pinang berasa tidak wajar bagi ahli parlimen Jelutong, Jeff Ooi mengheretkan Jemaah Islah Malaysia (JIM) ke dalam pertelingkahan beliau dengan ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Mohd Razali Abdullah.

Oleh itu, Setiausaha DAPSY negeri itu, Ng Wei Aik meminta perselisihan faham di antara Jeff dan JIM ditangani segera.

"Bagi DAPSY, JIM merupakan sebuah pertubuhan yang berdaftar dan selama ini, kami pernah bekerjasama untuk memperjuangkan pelbagai isu melalui gerakan belia, gerakan mahasiswa dan gerakan reformasi.

"Kita berkongsi prinsip-prinsip dan pendirian yang sama terhadap pelbagai isu yang mencabuli hak-hak asasi manusia dan keadilan sejagat," kata Ng yang juga setiausaha politik Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Oleh itu, katanya, DAPSY berpendapat JIM bukanlah sebuah gerakan ekstremis, tetapi gerakan Islam yang menjadikan aktiviti-aktiviti dakwah serta pembangunan sosial, sebagai teras aktivismenya.

"DAPSY memandang serius terhadap kenyataan Y.B. Jeff Ooi yang telah menimbulkan kemarahan umat Islam.

"Namun, kami percaya ini bukanlah tujuan asal Y.B. Jeff Ooi untuk menyinggung perasaan umat Islam," tambahnya.

Oleh itu, katanya, DAPSY berharap hubungan pemimpin DAP atau DAPSY dengan JIM secara khususnya atau masyarakat Islam secara amnya, tidak akan terjejas dengan kenyataan Jeff itu.

"Dengan itu, DAPSY berharap sebarang perselisihan faham di antara Y.B. Jeff Ooi dan JIM dapat ditangani dengan segera," tegasnya lagi.

No comments:

Post a Comment