“KALAU TIDAK BIJAK, DALAM JAHIL MEREKA MAKI ALLAH”
Ketika dakwah nabi di Makkah sampai kepada kemuncak yang membanggakan, menyebabkan ramai dari kalangan rakyat Makkah yang memeluk Islam. penerimaan Islam yang semakin hari semakin kelihatan, menyebabkan pembesar-pembesar Makkah dalam kebimbangan.
Mereka lakukan berbagai-bagai tindakan, supaya Nabi SAW berhenti dari menyampaikan dakwah islam. Pun begitu, tetap diteruskan juga oleh Nabi SAW, tanpa peduli.
Konsep keadilan dikemukakan, menyebabkan ramai dari kalangan hamba memeluk Islam. konsep kebajikan dikemukakan, menyebabkan orang miskin tertarik dengan islam. Bagi mereka yang kaya, disebabkan dikurniakan hati yang lunak dan berprikemanusiaan, mereka menjadikan islam sebagai agama pegangan hidup.
Penerimaan Islam inilah, menyebabkan orang-orang Quraish bimbang. Jika dibiarkan nabi muhammad meneruskan dakwah, sudah pasti Makkah akan dipenuhi dengan orang Islam. Sang penguasa yang memeras keringat hamba dan orang miskin, sudah pasti tidak boleh melakukan rutin harian mereka, kerana Islam mengajar konsep keadilan dan kebajikan.
Makanya, mereka sudah tidak ada cara lain dalam memberhentikan Nabi SAW daripada meneruskan kerja dakwah ini, melainkan dengan membawa satu deligasi Quraish untuk berjumpa dengan orang yang menjaga Nabi SAW; iaitu Abu Talib.
”wahai Abu talib, inilah Ummarah bin Al-Walid. Dia seorang pemuda yang gagah perkasa, kacak dan rupawan. Ambillah dia, berikan muhammad kepada kami sebagai ganti. Muhammad seorang pemuda yang biadap, kerana dia menentang agamamu; agama nenek moyang kita terdahulu. Dia memecah belahkan kaummu dan membodohkan pendapat mereka. Biarlah kami membunuhnya, tetapi Ummarah sebagai tukarannya” ketua kuffar bersuara ketika itu.
Abu Talib melihat gerangan kehadiran mereka yang ramai, disamping melihat pemuda yang dimaksudkan; bernama Ummarah.
”Demi Allah, alangkah bodohnya tindakan kamu sekelian. Apakah patut aku hendak menghabiskan wang dan hartaku, semata-mata hendak membesarkan ’Ummarah yang tidak ada kena mengena dengan darah dagingku?” Abu Talib memberikan jawapan bernas, menyebabkan deligasi Quraish itu senyap; tidak menjawab.
Orang Quraish sudah kehabisan idea. Mereka melihat, waimma Abu Talib tetap tidak beriman dengan ajaran Muhammad, tetapi ternyata penjagaannya terhadap Muhammad amat tuntas dan jitu.
Strategi mereka seterusnya, berjumpa dengan Abu Talib buat kali keduanya, untuk meminta agar Muhammad berhenti dari menyampaikan dakwah dari cara yang lain pula.
”wahai Abu Talib, sesungguhnya kamu dianggap sebagai orang tua kami, lantaran kedudukan kamu ini. telah berkali-kali kami meminta, agar kamu melarang anak saudaramu itu tidak meneruskan kerjanya. Kami sudah hilang sabar terhadapnya. Justeru, cegahlah dia dari meneruskan kerjanya itu” mereka bersuara dengan nada memujuk.
Abu talib menundukkan kepalanya. Dalam kepalanya, terdetik berbagai-bagai perkara yang sedang difikirkannya. Dengan berat hati, dia berjumpa dengan Muhammad.
”Wahai Muhammad, sesungguhnya kaummu telah datang berjumpa denganku. Mereka minta kamu berhenti dari meneruskan kerjamu” Abu Talib bersuara dengan nada sedih.
”wahai Muhammad, peliharakanlah dirimu dan diriku. Janganlah kamu bebankanku perkara yang aku tidak mampu memikulnya” Sambung Abu Talib sambil menitiskan air mata.
Rasulullah SAW tidak dapat lagi menahan sebak, seraya berkata dengan ungkapan tegas.
يا عم والله لو وضعوا الشمس في يمينى، والقمر في يسارى على أن أترك هذا الامر حتى يظهره الله، أو أهلك فيه ما تركته
Maksudnya;
”Wahai Pak Chik, demi Allah, sekiranya mereka meletakkan matahari di tangan kananku, dan bulan di tangan kiriku untuk aku tinggalkan kerjaku ini, pasti aku tidak akan meninggalkannya, hingga Allah menzahirkan islam, ataupun aku mati kerananya[1]”
Setelah menyebut kalimah tegas itu, menyebabkan nabi SAW menangis. Tangisan Nabi itu dilihat oleh Abu Talib, menyebabkan Abu talib berkata, ”justeru, teruskanlah dengan kerjamu wahai anak saudaraku. Aku tidak akan menghalang kamu dengan kerja buatmu, malah aku akan sentiasa mempertahankan kamu sehingga akhir hayatku. Lakukan segala perkara berdasarkan kehendak kamu. Aku sampai bila-bila pun tidak akan menyerahkan kamu kepada mereka”
Abu Talib berjumpa dengan pembesar-pembesar Quraish, menyatakan bahawa beliau tidak akan menyerahkan muhammad kepada mereka, malah akan menjaga dan membiarkan Muhammad dengan kerja buat yang sudah menjadi rutin hariannya.
Pembesar Quraish masih tidak berpuas hati. Mereka masih lagi berfikir cara yang paling berkesan dalam memberhentikan dakwah Nabi SAW. justeru, disaat hampir dengan saat kematian Abu Talib, sekali lagi tokoh-tokoh besar Quraish datang berjumpa dengan beliau. Mereka adalah Abu Sufyan, Abu Jahal dan An-Nadhar bin Al-Haris.
”Wahai Abu Talib, kamu adalah orang yang kamu muliakan. Tolonglah beritahu kepada Muhammad, agar dia berhenti dari meneruskan kerja buatnya” Abu Sufyan bersuara.
Dalam keadaan yang sudah tidak bertenaga, Abu talib memanggil Nabi Muhammad SAW. ketika Nabi SAW berada dihadapan mereka, Abu talib berkata, ”Wahai Muhammad, ini kaum kamu. Mereka merupakan anak beranak kepada bapa saudaramu. Mereka meminta agar kamu meninggalkan mereka terhadap agama mereka, sudah pasti mereka akan meninggalkan kamu dari agama kamu”
”kalau begitu, ucaplah ’la ilaha ill Allah’” Nabi SAW bersuara menyahut.
Mereka tetap tidak mahu, sambil mengeleng-gelengkan kepala.
Abu Talib yang melihat keadaan itu membangunkan dirinya untuk duduk dibirai katil. Sambil itu dia bersuara, ”wahai Muhammad, apakah tidak ada kalimah lain, kerana mereka amat tidak menyukainya”
”Demi Allah, tidak ada kalimah lain yang akan aku ucapkan sehinggalah mereka meletakkan matahari di tangan kananku ini” Nabi SAW bersuara tegas.
Mereka berpandangan sesama mereka.
”jika demikian, berhentilah dari mencela tuhan kami. Jika tidak, pasti kami akan mencela tuhan kamu” An-Nadrah bersuara
Nabi SAW tidak menjawab balik apa yang diperkatakan oleh An-Nadrah. Nabi SAW berdiam diri, sehingga Allah SWT menurunkan firman-Nya;
وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ كَذَلِكَ زَيَّنَّا لِكُلِّ أُمَّةٍ عَمَلَهُمْ ثُمَّ إِلَى رَبِّهِمْ مَرْجِعُهُمْ فَيُنَبِّئُهُمْ بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ
Maksudnya;
”Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, karena mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami jadikan setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka. Kemudian kepada Tuhan merekalah kembali mereka, lalu Dia memberitakan kepada mereka apa yang dahulu mereka kerjakan”
(Surah Al-‘An’am : 108[2])
ISLAM DITERIMA KERANA KEADILANNYA
Dari kisah ini, kita dapat melihat bagaimana penerimaan terhadap Islam di awal dakwah nabi SAW. Disamping penekanan aqidah, dalam masa yang sama, terkandung seribu satu unsur keadilan dalam setiap sesi dakwah yang dijalankan oleh nabi SAW.
Konsep menolak penindasan dan kezaliman menyebabkan Bilal bin rabah, Ammar bin yasir, Sumayyah binti Al-Khayyat dan juga ramai dari kalangan hamba memeluk islam. Mereka tertarik dengan islam kerana kebencian mereka terhadap kezaliman yang dilakukan oleh para pembesar Quraish yang beragama dengan sembahan Al-Lata dan Al-Uzza.
Justeru itulah, tidak hairan bahawa di awal-awal islam, majoriti yang memeluk islam adalah golongan bawahan; golongan miskin dan hamba.
Kaedah ini sebenarnya, bukan sekadar wujud di zaman nabi SAW, malah wujud dimana-mana sekalipun. Golongan tertindas, susah, miskin dan sebagainya, mereka sedang berada dalam kesusahan. Apabila susah, sudah pasti mereka mahukan kemudahan bagi menghilangkan kesusahan mereka tersebut. Tiba-tiba, didapati ada satu ajaran yang menekankan konsep keadilan ini, sudah pasti mereka akan menerima ajaran tersebut.
Kaedah yang samalahlah yang sedang dilakukan oleh gerakan Kristian di seluruh dunia. Jika kita perhatikan, sebarang bencana alam yang menimpa di mana-mana dunia pun – terutama di dunia islam – pasti gerakan misi bantuan dari gerakan kristian akan sampai. Mereka memberikan bantuan ubat-ubatan, makanan, pakaian dan sebagainya. semuanya disebabkan, mahu menarik minat golongan yang susah ini kepada agama mereka.
Sedihnya, keadaan ini tidak pernah dilihat oleh umat Islam sendiri, walhal konsep memberi pertolongan kepada orang-orang susah dan miskin, dalam mendekatkan diri mereka Islam adalah cara yang diperjuangkan oleh Islam, malah dilakukan oleh Nabi SAW. Bukan sekadar itu, malah islam itu sendiri adalah agama keadilan; diberikan kepada sesiapa sahaja, terutama orang-orang yang susah.
Justeru itulah, kita akan dapati wujudnya sistem zakat dalam islam yang merupakan salah satu dari rukun-rukun islam. Hakikatnya, zakat ini amat penting untuk mendekatkan manusia kepada Islam; ataupun mendidik manusia agar menghayati Islam. sedihnya, kewujudan badan-badan zakat sekarang, boleh dikatakan mereka mementingkan kutipan berbanding pemberian. Justeru, tidak hairanlah di negara umat Islam yang mempunyai badan kutipan zakat, boleh dikatakan negara itulah yang kadangkala ditimpa dengan kemiskinan, dan kesusahan yang mampu membawa mereka kepada kekufuran.
Keadilan islam juga, tertumpu kepada menafikan konsep perkauman. Bilal bin Rabah yang berkulit hitam, menjadi mulia di zaman nabi SAW disebabkan ketaqwaannya terhadap Allah. Waimma beliau tidak berbangsa arab; tidak mempunyai wajah yang kacak dan cantik, tetapi memandangkan Islam agama keadilan, Bilal mendapat kemuliaan yang tinggi di sisi Allah SWT.
KETEGASAN DENGAN KEBENARAN
Jika dilihat kepada Nabi SAW, kita akan dapati bahawa Nabi SAW amat tegas dalam menyatakan kebenaran. Sebarang rayuan, pujukan dan makian dari pihak musuh, tidak pernah menyedihkan hati nabi SAW dalam menyatakan perkara yang sepatutnya.
Ketegasan dalam menyatakan kebenaran adalah perkara yang wajib ditauladani dari Nabi SAW. Di samping itu juga, kebijaksanaan dalam mempertahankan kebenaran juga perlu dipelajari dari kisah ini. Perhatikan, bagaimana Allah SWT menyatakan larangan daripada memaki sembahan-sembahan selain Allah, kerana dibimbangi mereka akan memaki Allah. Ini menandakan, dalam mempertahankan kebeneran, ia memerlukan seribu satu kebijaksaan.
Menurut Imam Fakhr Ar-Razi dalam kitab At-Tafsir Al-Kabir, beliau menyatakan bahawa memaki sembahan selain Allah, waimma dilihat seakan-akan satu amalan yang dilihat baik disisi Islam, tetapi sebenarnya, disebalik makian tersebut ia mengandungi banyak kemungkaran. Kemungkaran tersebut adalah, dengan makian itu, menyebabkan mendapat makian balas dari mereka dalam keadaan mereka jahil dan bermusuh terhadap islam. apabila keadaan ini berlaku, tidak mustahil mereka akan sanggup memaki Allah, seterusnya Nabi Muhammad SAW sendiri[3].
Melahirkan permusuhan dengan non Muslim, akan melahirkan prejudis mereka terhadap Islam. apabila keadaan ini berlaku, sudah pasti usaha hendak menyampaikan islam terhadap mereka akan terbantut, malah akan tidak berjaya.
Ekoran itulah, Imam Al-Qurtubi ada menyebut;
فمتى كان الكافر في منعة وخيف أن يسب الإسلام أو البني عليه السلام أو الله عز وجل، فلا يحل لمسلم أن يسب صلبانهم ولا دينهم ولا كنائسهم، ولا يتعرض إلى ما يؤدي إلى ذلك؛ لأنه بمنزلة البعث على المعصية
Maksudnya;
”Apabila non Muslim mahu ditegah atau dibimbangi bahawa mereka memaki islam ataupun Nabi, malah terhadap Allah SWT, maka tidak halal bagi seseorang muslim itu mencela salib-salib mereka, terhadap agama mereka, juga terhadap gereja-gereja mereka. Ini kerana, ia membawa kepada keadaan yang disebut membangkitkan kepada maksiat[4]”
Justeru itulah, tindakan tersebut dilihat seribu satu kebodohan, yang hakikatnya tidak merujuk kepada ajaran Al-Quran yang diturunkan oleh Allah SWT.
KONSEP MASLAHAH DAN MAFSADAH
Jika direnung sedalam-dalamnya, disamping merujuk kandungan kitab-kitab tafsir. Ketika menafsirkan ayat ini – surah Al-An’Am ayat 108 - pasti kita akan dapat melihat betapa konsep pentingnya mengambil maslahah yang lebih besar dengan menolak mafsadah yang lebih besar amat penting dijadikan sebagai asas dalam berfikir ketika melakukan sesuatu tindakan.
Justeru itu, ayat ini Allah melarang memaki sembahan selain Allah, kerana bimbang melahirkan dua keburukan, iaitu mereka akan terus dengan kejahilan, disamping lahir prejudis terhadap Islam disebabkan berpunca dari permusuhan.
Kita dapat melihat, walau dilihat seperti memaki sembahan selain Allah itu dibenarkan, tetapi disebalik membenarkan itu, melahirkan banyak mudharat kepada Islam itu akan berlaku.
Konsep maslahah dan mafsadah ini, tidak sekadar dilihat menerusi dari makian terhadap tuhan selain Allah, tetapi hendaklah dibandingkan dengan isu-isu yang lain.
Termasuklah dalam isu arak, isu rumah ibadat, isu kepala lembu dan sebagainya. semuanya adalah kerana, demi menolak mafsadah, malah untuk mendapatkan maslahah yang lebih besar terhadap dakwah islam itu sendiri.
Justeru, jika masih ada lagi dari kalangan orang-orang islam, mahupun golongan agamawan yang graduan di Univerisiti Al-Azhar, atau dari mana-mana universiti pun, jika masih lagi bertindak tanpa melihat kepada konsep maslahah dan mafsadah, menandakan mereka tidak memahami pemahaman dari kandungan ayat ini – surah al-’an’am ayat 108.
RUJUK KEPADA ALLAH UNTUK HILANGKAN PERSEPSI
seseorang manusia yang melakukan sesuatu amalan, sudah pasti pada kacamatanya, dia menganggap amalan itu baik, waimma ia tidak baik di mata-mata manusia lain.
orang yang memaki sembahan selain dari Allah, mereka menganggap amalan mereka itu adalah baik; Orang yang mengarakkan kepala lembu, sudah pasti mereka menganggap tindakan mereka adalah baik; mereka yang bising dengan isu arak tanpa memikirkan kesan buruk yang akan menimpa pada Islam, sudah pasti mereka akan menganggap tindakan mereka adalah baik.
Hakikatnya, perkara ini sudah diakui sendiri oleh Allah SWT menerusi Al-Quran. Firman Allah SWT menerusi surah al-’an’am ayat 108;
كَذَلِكَ زَيَّنَّا لِكُلِّ أُمَّةٍ عَمَلَهُمْ
Maksudnya;
”begitulah kami hiaskan bagi setiap umat itu akan amalan mereka”
Justeru itulah, tidak hairan Pakar psikologi ada menyebut, berfikir secara persepsi ini adalah perkara biasa bagi manusia. lantaran itulah, ramai manusia beranggapan bahawa nilai sesuatu itu bukan terletak kepada kualiti isi kandungan, tetapi terletak kepada lebel yang diberi.
Seperti contoh, ramai manusia akan mengatakan sesuatu statement itu bernilai disebabkan dia datang dari seseorang yang berprestij, waimma statement itu tidak mempunyai nilai intelek sedikitpun. Malah sebaliknya, jika seseorang yang tidak mempunyai personaliti berprestij mengeluarkan sesuatu idea yang bernas, sudah pasti idea itu di tolak mentah.
Inilah hakikat manusia yang telah dikaji oleh para pakar ilmu psikologi, malah hakikatnya telah dinyatakan oleh Allah SWT dalam Al-Quran.
Pun begitu, semua persepsi ini akan terus menjadi persepsi, tetapi kebenaran tetap mahu dicapai. Bagaimana mahu mencapai kebenaran, sudah pasti hendaklah merujuk kepada Allah SWT.
Sebab itulah, sambungan ayat Allah menyatakan;
ثُمَّ إِلَى رَبِّهِمْ مَرْجِعُهُمْ فَيُنَبِّئُهُمْ بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ
Maksudnya;
”Kemudian kepada Tuhan merekalah kembali mereka, lalu Dia memberitakan kepada mereka apa yang dahulu mereka kerjakan.”
Sekian
Wallahu ’Alam
Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com
Sri indah (B), Sg Buloh
26 september 2009 * 4:57 petang
[1] As-Sirah An-nabawiyyah (Ibnu kathir) : 1/474.
[2] At-Tafsir Al-Kabir : 6/431.
[3] At-tafsir Al-Kabir : 6/342.
[4] Tafsir Al-Qurtubi : 7/61.
No comments:
Post a Comment