Saturday, September 5, 2009

BUKTI KETERBUKAAN MB SELANGOR - ALTERNATIF AKAN DICARI BAGI MENYELESAIKAN KEMELUT KUIL SEKSYEN 23



Dialog antara kerajaan negeri Selangor dengan penduduk Seksyen 23 Shah Alam hari ini menyaksikan Menteri Besar Khalid Ibrahim setuju untuk mencari kawasan alternatif bagi kuil Maha Sri Mahariamman.

Dalam dialog anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam hari ini, Khalid berkata kerajaan negeri akan melihat semula rancangan perpindahan kuil tersebut dari Seksysen 19 ke Seksyen 23, dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor dipertanggungjawabkan untuk mencari penyelesaian secepat mungkin.

Beliau meminta semua pihak untuk berhenti bertelagah sehingga kerajaan negeri selesai menemui semua pihak bagi memperhalusi keluhan dan cadangan masing-masing.

Selain dari Khalid, turut hadir adalah Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad, Adun Batu Tiga Rodziah Ismail, Datuk Bandar Mazalan Md Noor dan Pengarah PKNS Othman Omar.

Saranan ini disambut baik oleh sebahagian dari 300 penduduk yang hadir, namun ada pihak yang masih tidak berpuas-hati dan melontarkan kata-kata kesat terhadap Khalid.

Dialog yang sepatutnya bermula dengan matang bertukar tegang apabila ada individu tertentu - termasuk mereka yang terbabit dalam tunjuk perasaan kepala lembu tempoh hari - mengajuk dan bertindak liar terhadap empat panelis dan para peserta dialog.

Baru sahaja dialog bermula, individu-individu terbabit naik keatas kerusi masing-masing dan mencemuh panelis. Akhirnya 50 orang diiring pegawai MBSA keluar dari dewan tersebut supaya dialog dapat diteruskan dengan aman.

Tidak lama kemudiannya, dewan kembali berantakan apabila ada individu-individu yang mencelah dan menjerit-jerit ketika Ahli Parlimen Khalid Samad cuba menjawab soalan dari penduduk.

Perjalanan dialog terus diganggu apabila giliran Rodziah Ismail di podium diselang-seli dengan laungan 'tipu, tipu, tipu' dari individu-individu terbabit.

Bahkan keadaan bertambah tegang apabila mereka turut menghina seorang penduduk etnik India. Pegawai MBSA terpaksa campurtangan bagi meleraikan ketegangan.

Perjalanan dialog terus terganggu dengan individu-individu yang terkinja-kinja melahirkan kemarahan di atas kerusi, lantai sehingga ke podium yang menempatkan panelis. Mereka juga menuntut supaya media dihalang dari melaporkan prosiding dialog hari ini.

Melihatkan tiada keputusan dapat dibuat dalam dialog hari ini, pegawai-pegawai kerajaan negeri mengiringi Menteri Besar keluar dari dewan tersebut. Dialog ini berakhir kosong sebagaimana ia bermula.

SUMBER : www.wargamarhaen.blogspot.com

No comments:

Post a Comment