Saturday, September 5, 2009

PENJELASAN ADUN SRI MUDA TERHADAP TUDUHAN INGIN "MELOMPAT"



Oleh Shuhaimi Hj.Shafiei

Izinkan saya membuat sedikit penjelasan berhubung dakwaan yang tersiar di media hari ini berhubung kemungkinan saya antara yang berisiko tinggi akan melompat parti. Banyak kali berita ini disiarkan dan tidak berhenti sejak beberapa bulan dulu. Ingin saya tegaskan yang saya tidak mahu termasuk dalam perangkap yang dipasang oleh BN melalui media yang dikuasainya dan sekarang ini semakin galak dimainkan pula oleh media yang neutral.

Pertamanya biar saya betulkan dulu tentang hubungan saya dengan Ezam Mohd Noor, bekas Ketua Bahagian Shah Alam dan Ketua AMK Keadilan Pusat. Saya tidak menafikan yang hubungan kami rapat semenjak tahun 1999 lagi takkala beliau bertanding di parlimen Shah Alam dan saya adalah Ketua PACA bagi Dun Kota Raja pada waktu itu. Keakrapan itu berterusan semasa Ezam berada di Kamunting dan juga selepas dibebaskan. Semasa Ezam menjadi Pengarah Pilihanraya Keadilan Selangor pada tahun 2007, saya adalah Timbalan Pengarah Bilik Gerakan Pilihanraya Selangor yang dibawah pengawasannya.

Saya pernah berada bersama Ezam dengan menjadi Ketua Penerangan Pemuda Keadilan dan Ketua Penerangan Keadilan Negeri Selangor dan sudah semestinya banyak program yang kami laksanakan semasa beliau masih dalam keadilan dan antara orang yang diberi kepercayaan penuh oleh Pengerusi Perhubungan Keadilan Negeri waktu itu, Tan Sri Khalid sendiri. Suasana berbeza selepas Ezam berhenti dari negeri dan saya tidak bersama dengannya semasa penubuhan NGO GERAK.

Saya berkeyakinan penuh bahawa berada dalam parti yang berbeza bukan pemutus kepada persahabatan dan tidak menafikan masih berhubungan melalui rakan rakan lain. Jika kita perhatikan semua pimpinan politik di negara ini pernah berkawan antara satu sama lain walaupun berlainan pentas politik termasuklah Dato Seri Anwar Ibrahim sendiri yang masih berhubungan dengan jemaah Menteri lain walaupun berbeza pendirian. Maka tidak betul sama sekali jika itulah hubungannya yang menjadi penyebab timbul dakwaan saya akan melompat parti. Hanya fitnah semata-mata dan amat berniat jahat.

Kali pertama perkara ini cuba dijadikan umpan perangkap adalah apabila ia dimuatkan di akhbar Sinar beberapa bulan dulu. Kemudian giat dimainkan di blog dan baru baru ini di Malaysiakini.

Saya sudah menjangkakan akhirnya perkara ini akan diperbesarkan supaya semua pimpinan parti dan pendokong parti berasa cemas dan bila-bila masa jarum akan dicucuk agar berita ini menjadi lebih panas. Dalam 'perang saraf' berita benar atau palsu tidak penting, apa yang perlu hanyalah sekadar ulasan yang boleh ditiupkan menjadi satu isu yang akan menguntungkan gerakan seteru politik. Inilah yang cuba dilakukan oleh pencacai pencacai politik yang tidak senang melihat perpaduan Pakatan Rakyat.

Sukalah saya tegaskan bahawa siapa sahaja boleh menyebarkan berita ini, hakikatnya mereka yang mengenali saya akan tahu berita yang disebarkan adalah tidak lebih dari satu perang saraf semata mata.

Saya tidak akan terpengaruh dengan bahan seperti ini kerana sudah faham sangat akan mainan politik seperti ini.

Sekali lagi saya tegaskan, semua yang diberitakan adalah palsu dan berniat untuk melaga-lagakan Pakatan Rakyat sahaja.

No comments:

Post a Comment