Tuesday, September 29, 2009

PAS PERLU MENDEFINASIKAN KONSEP DAN PENGERTIAN WALA' SECARA BERTULIS SUPAYA AHLI DAPAT FAHAMI DENGAN JELAS



PAS PERLU ADA TAFSIRAN WALA’ SECARA BERTULIS

Wala’ dijadikan mainan. Golongan yang tidak sehaluan, dituduh sebagai orang yang tidak wala’. Apakah benar cara tuduhan tersebut?

Jika meniliti dalam Al-Quran, Wala’ yang mutlak hanya terhadap Allah dan Rasul sahaja. Adapun selain itu, wala’ bersifat muqayyad, atau bersifat ketergantungan.

Firman Allah;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآَخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا

Maksudnya;
“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah; taatlah kamu kepada Rasul, juga terhadap pemimpin dari kalangan kamu. Sekiranya kamu bertelagah pada sesuatu perkara, kembalilah kepada Allah dan Rasul. Itupun, jika kamu beriman dengan Allah dan Hari akhirat. demikian itulah lebih utama dan lebih baik akibatnya”

(Surah An-Nisa’ : 59)


TEGUR DAN KRITIK PEMIMPIN

Ada sebilangan pemimpin melakukan sesuatu tindakan yang dilihat tidak tepat, lalu dikritik oleh sebilangan ahli. Apakah tindakan ahli tersebut sudah dikira sebagai tidak wala’?

Jika itu sudah dikira sebagai tidak wala’, bagaimana pula kritikan seorang muslimat terhadap Omar dalam satu majlis terbuka? Bagaimana kritikan terbuka yang dilakukan oleh Ubbadah bin As-Somit terhadap Muawiyyah yang menjadi gabenor lantikan Omar? BagaimanA seorang anak muda menghunuskan pedang kepada Omar dikala Omar menyuruh mereka “dengar dan taat”. Perbuatan anak muda itu, tidak dimarahi oleh Omar, malah diucapkan syukur kepada Allah terhadap keberanian anak muda tersebut. Apakah tindakan anak muda itu tidak wala’?

Jika mempertikaikan sesuatu kenyataan seseorang pemimpin sudah dikira sebagai tidak wala’, bagaimana mula tindakan Syuraih Al-Qadi yang mempertikai kenyataan Ali yang menuduh seorang lelaki yahudi yang mencuri baju besinya?


APA TAFSIRAN WALA’ SEBENAR?

Jika tafsiran wala’ itu bermaksud mengikut sahaja perintah seseorang pemimpin, bukankah itu sudah disebut sebagai “taqlid buta” yang diharamkan oleh islam?

Bagaimana pula hadis yang menceritakan kisah seorang pemuda Ansar yang dilantik menjadi ketua perang, lalu menyuruh tentera-tenteranya terjun dalam api, tetapi tidak dilakukan oleh tentera tersebut. Kemudian, apabila diberitahu kepada Nabi SAW, Nabi SAW membenarkan tindakan tentera yang ‘tidak wala’’ kepada pemuda ansar yang dilantik menjadi ketua Perang?

Bagaimana pula tindakan Dato’ Hasan Ali yang banyak bertindak dan melakukan kenyataan yang bercanggah dengan keputusan yang disepakati oleh PAS bersama-sama dengan kawan-kawan dalam pakatan rakyat? Apakah itu tidak disebut sebagai melanggar wala’ kepada parti, atau bagaimana?

Justeru, dalam PAS sendiri, istilah wala’ ini masih lagi kabur dan samar; mengundang berbagai-bagai tafsiran dan definisi yang kadang-kala ia bukan lagi merujuk kepada maksud wala’ yang dikehendaki Al-Quran dan As-sunnah, tetapi merujuk kepada sentimen atau kepuakan di dalam PAS.

Justeru, dicadangkan kepada PAS agar diadakan satu tafsiran secara seragam dan bertulis terhadap maksud tafsiran ‘Wala’’, agar tidak menjadi keraguan lagi kepada semua ahli parti di masa akan datang.

Sekian

Wallahu ‘Alam


Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com

Sri Indah (B), Sg Buloh
29 september 2009 * 5:49 petang

No comments:

Post a Comment