Friday, September 25, 2009

PAS SELANGOR IKUT JALAN RASULULLAH SAW ATAU IKUT JALAN HASSAN ALI



KELUAR PAKATAN? : NABI TIDAK PERNAH KHIANATI PERJANJIAN !!

Sebarang perjanjian, tidak pernah dikhianati oleh nabi SAW. malah, dalam sirah, kita akan dapati sebarang pengkhianati janji, semuanya datang dari pihak kafir @ yahudi.

Dalam sejarah perjanjian Al-Hudaibiyyah sebagai contoh, mengkhianati perjanjian tidak bermula dari Nabi, tetapi dari pihak Quraisyh. Hasil pengkhianatan perjanjian tersebut, menyebabkan Allah memberikan kemenangan kepada umat Islam, dengan kejayaan umat Islam memasuki Makkah – pembukaan kota Makkah selepas 10 tahun berlakunya perjanjian Al-Hudaibiyyah.

Begitujuga, dalam peperangan ahzab, kita juga dapati perjanjian damai yang dimetrai antara kerajaan islam Madinah pimpinan Nabi SAW dengan kaum yahudi bani Quraizhah, dikhianati oleh puak yahudi terlebih dahulu.

Malah, mengikut satu riwayat dalam sirah, didapati di awal pengkhianatan yang dilakukan oleh Yahudi bani Quraizah, Nabi SAW menghantar seorang sahabat (kalau tak salah ingat, sahabat itu bernama Sa’ad bin Muaz) sebagai mewakili nabi untuk berjumpa dengan Kaab, ketua yahudi Bani Quraizah - yang termakan hasutan Huyay bin Al-Akhtab, ketua Yahudi bani Nadhir - agar memujuk supaya Kaab tidak memutuskan perjanjian yang telah termetrai.

Pun begitu, ternyata hasutan Huyay bin Al-Akhtab itu terlalu kuat, menyebabkan Kaab tidak mengendahkan pujukan wakil nabi itu dan seterusnya tetap mahu putuskan hubungan perjanjian yang termetrai sejak sekian lama.

Hasil dari pengkhianatan perjanjian dari pihak Yahudi itu, menyebabkan kemenangan dalam peperangan dikecapi oleh nabi SAW, malah moral kejahatan tertempel kepada yahudi.

Apabila dunia melihat pengkhianatan perjanjian itu datang dari yahudi, menyebabkan dunia ketika itu terus melihat kejahatan itu datang dari yahudi, disamping, mereka mula melihat kebaikan Nabi SAW, seterusnya mereka mula mengkaji Islam dan memeluk islam di zaman Omar bin Al-Khattab menjadi khalifah.

Inilah kehebatan Nabi SAW dalam berpolitik dan berstrategi ketika melakukan sesuatu perjanjian, tetapi agak tidak wujud dalam diri pejuang islam yang mendakwa mengikut politik nabi SAW pada hari ini.


PAKATAN RAKYAT DAN SIYASAH SYARIIYYAH

Dalam siyasah Syariyyah, kita akan berjumpa perbahasan tentang konsep maslahah dan mafsadah atau manfaat dan mudaharat. Kedua-dua konsep ini penting dihadham dan difahami, agar sesuatu keputusan dalam sesuatu tindakan politik, benar-benar memberi keuntungan kepada Islam.

Dari konsep maslahah dan mafsadah dalam siyasah syariiyyah inilah, lahirnya beberapa perbahasan, seperti konsep tahaluf siyasi (pakatan politik), Al-Musyarakah bi ghair AL-Muslimin (berkongsi kuasa dengan bukan islam) dan berbagai lagi.

Sebarang gabungan antara parti islam dengan parti yang tidak Islam, semuanya berasaskan kepada konsep maslahah dan mafsadah, tidak kira ia diberi nama tahaluf siyasi ataupun Al-Musyarakah bi Ghair Al-Muslimin.

PAS dalam gabungan Pakatan Rakyat; bersama PKR dan DAP, ia perlu dibahas dari asas kaedah maslahah dan mafsadah ini. Apa yang dapat dilihat kini, sebilangan ustaz-ustaz PAS ternyata masih lagi membahaskan konsep tahaluf siyasi dalam kerajaan pakatan Rakyat, waimma keadaan sekarang bukan lagi tahaluf siyasi, tetapi Al-Musyarakah bi Ghair Al-Muslimin.

Dalam kes al-musyarakah bi Ghair Al-Muslimin, banyak syarat-syarat yang wajib disempurnakan, antaranya, wajib sesuatu parti islam itu melaksanakan dakwah berstrategi dalam kerajaan, disamping menghantar wakil dalam kerajaan gabungan, orang-orang yang mampu mempertahankan prinsip Islam dengan segala kebijaksanaan.

Apabila wujud wakil parti Islam tidak bijak mempertahankan sesuatu prinsip Islam, maka wajib pihak parti menggantikan orang lain sebagai wakil dalam kerajaan.

Firman Allah SWT;

وَمَا أَرْسَلْنَا مِنْ رَسُولٍ إِلَّا بِلِسَانِ قَوْمِهِ لِيُبَيِّنَ لَهُمْ

Maksudnya;
“Tidaklah kami utuskan seorang rasul pun, melainkan dengan bahasa kaumnya, supaya ia dapat memberi penjelasan dengan terang kepada mereka”

(Surah Ibrahim : 4)

Maksud dengan “bahasa kaumnya” menandakan kebijaksanaan dalam berinteraksi dalam mempertahankan sesuatu perinsip Islam. Tanpa kebijaksanaan dalam mempertahankan perinsip, sudah pasti islam yang indah akan dipandang hodoh.

Pun begitu, jika parti islam ketandusan orang yang bijak; dengan tidak terdapat juga orang yang bijak dalam mempertahankan sesuatu prinsip, maka dibenarkan parti islam keluar dari gabungan tersebut.

Pun begitu, sebelum keluar dari gabungan kerajaan, pihak parti islam perlu melihat kemudharatan disebalik keluar gabungan tersebut, apakah ia benar-benar mempunyai maslahah yang besar; bersifat berpanjangan, ataupun mempunyai mudharat yang lebih besar; bersifat berpanjangan. Jika dengan tindakan keluar dari gabungan kerajaan itu, didapati banyak terdapat mudharat berbanding maslahah kepada Islam, ketika itu, tindakan keluar dari gabungan adalah tidak syarie.


KESIMPULAN

Dari perbahasan ringkas ini, apa yang ingin dinyatakan adalah seperti berikut;

Pertama;

Apabila PAS berada dalam kerajaan pakatan rakyat yang dilihat non Muslim mendominasi, PAS perlu menghantar wakil dalam kerajaan – exco orang yang sememangnya bijak dalam mempertahankan sesuatu perinsip Islam. Jika didapati wakil tersebut – exco ternyata tidak mampu, maka wajib digantikan dengan exco yang lebih bijak, dan pandai dalam mempertahankan prinsip.

Kedua;

Jika terbukti tidak terdapat seorang pun orang yang bijak untuk dihantar sebagai wakil kerajaan – exco, maka sebelum mengambil keputusan untuk keluar dari gabungan, perlu dilihat terlebih dahulu keuntungan atau kerugian dakwah. Jika ternyata melahirkan kerugian dalam dakwah islamiyyah, maka ketika itu, keluar dari gabungan adalah tidak syarie.

Ketiga;

Jika PAS bertindak mahu memulakan usaha hendak keluar dari pakatan, ia merupakan tindakan yang tidak berasaskan kepada pengamalan nabi SAW. Ini kerana, sirah telah menbuktikan bahawa Nabi SAW tidak pernah menjadi pencetus terhadap pengkhianatan sesuatu perjanjian, waimma perjanjian itu dimetrai nabi dengan kaum yahudi sekalipun.

Justeru, berpolitiklah dengan bijaksana dan bijaksini. Agar, dalam berpolitik itu sememangnya benar-benar memberi keuntungan kepada Islam, seterusnya melahirkan kemenangan dalam membina sebuah Negara islam di Malaysia.

Sekian

p/s : Penyapu yang Khir Toyo bagi kat pegawai daerah tidak boleh disamakan dengan isu selcat. Pemberian penyapu Khir Toyo kepada pegawai daerah, dibenci oleh rakyat. Adapun pendedahan selcat ini, disukai oleh rakyat. Rakyat penentu undi dalam sistem demokrasi. Justeru, kiasan pemberian penyapu dengan isu selcat, adalah kias maa al-fariq. Kias yang tidak mempunya kesamaan illat pada usul dan furuknya.

Wallahu ‘Alam


Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com


Sri Indah (B), Sg Buloh
25 september 2009 * 3:52 petang

No comments:

Post a Comment